Cabut lari tinggalkan tunang di Jambatan Pulau Pinang

JPJ melakukan Op Motosikal Khas di lorong motosikal Jambatan Pulau Pinang sempena Tahun Baharu Cina pada Rabu.
JPJ melakukan Op Motosikal Khas di lorong motosikal Jambatan Pulau Pinang sempena Tahun Baharu Cina pada Rabu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki tergamak meninggalkan tunangnya yang terjatuh dari motosikal ketika pasangan itu melarikan diri daripada sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, wanita berkenaan yang berusia 20-an itu mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan kaki.

Bagaimanapun, belum sempat pihak JPJ memberikan rawatan awal kepadanya, wanita itu bertindak melarikan diri.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, pasangan yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 diarahkan berhenti untuk pihaknya melakukan pemeriksaan menerusi Op Motosikal Khas di lorong motosikal Jambatan Pulau Pinang sempena Tahun Baharu Cina.

Menurutnya, ketika pihak penguat kuasa mengarahkan penunggang membuat lencongan untuk pemeriksaan lanjut, lelaki tersebut bertindak melarikan diri dengan membuat pusingan U.

“Disebabkan tindakan mengejut lelaki itu mengakibatkan tunangnya terjatuh dari motosikal.

“Lelaki itu tidak peduli dengan wanita berkenaan dan terus memecut laju motosikal menghala ke bahagian Pulau," katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian pada Rabu.

Adenan ketika ditemui media.
Adenan ketika ditemui media.

Adenan berkata, pihaknya sempat bertanyakan mengenai penunggang motosikal terbabit dan wanita itu mengakui lelaki itu adalah tunangnya dan mereka dalam perjalanan dari Seberang Perai menuju ke pusat bandar.

Beliau berkata, lelaki berkenaan mungkin tiada lesen memandu atau cukai jalan tamat tempoh hingga menyebabkan dia nekad melarikan diri.

Sementara itu, mengulas mengenai operasi yang dijalankan, Adenan berkata, sebanyak 301 saman dikeluarkan selain 24 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan.

“Kita dapati majoriti penunggang yang dikenakan tindakan berkaitan kesalahan tiada lesen memandu dan tiada cukai jalan selain pengubahsuaian motosikal.

“Malah setiap kali operasi, kesalahan tiada lesen memandu sangat tinggi dan bagi operasi kali ini boleh dikatakan hampir 100 kes," katanya.