Lelaki warga Myanmar maut ditetak dengan parang

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
A
A
A
NIBONG TEBAL - Motif dendam dipercayai punca seorang lelaki warga Myanmar dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Sintar di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Varajami, 24, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan penuh kesan tetakan.

Difahamkan, berlaku pergaduhan antara mangsa dengan beberapa suspek berikutan beberapa jiran memberitahu terdengar bunyi bising di rumah berkenaan sekitar jam 2 pagi.

Curiga dengan keadaan itu, penduduk di kawasan perumahan berkenaan melaporkan kejadian tersebut kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Shafee Abd Samad berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan dan menemui mangsa sudah tidak bernyawa lagi.

"Hasil siasatan mendapati mangsa tinggal di rumah berkenaan bersama adik lelakinya namun semasa kejadian, adik si mati sedang tidur di bilik ketiga bahagian atas rumah tersebut dan tidak menyedari kejadian berlaku.

"Polis turut menemui dua bilah parang disebelah mangsa dan berdekatan kerusi di ruang tamu rumah yang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa," katanya ketika dihubungi di sini.

Shafee berkata, hasil risikan dan siasatan yang dilakukan pihaknya berjaya memberkas tiga suspek yang juga warga Myanmar dipercayai terlibat dengan kejadian berkenaan.

Katanya, dua daripada suspek ditahan oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) URB kira-kira dua jam selepas kejadian di pekan Nibong Tebal sebelum berjaya memberkas seorang lagi rakan mereka.
Artikel Berkaitan:


"Ketiga-tiga suspek yang berusia di antara 20 hingga 24 tahun itu juga mengalami kecederaan di bahagian tangan dan badan dipercayai akibat bergelut dengan mangsa.

"Kesemua mereka akan ditahan reman untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,"katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.