Tiada jemputan rasmi daripada Pas - Kon Yeow

Kon Yeow (lapan dari kiri) menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kadun Padang Kota pada Khamis.
Kon Yeow (lapan dari kiri) menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kadun Padang Kota pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengesahkan tidak menerima sebarang jemputan rasmi daripada Pas yang ingin membuat perjumpaan bagi membincangkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan kelak.

Kon Yeow berkata, beliau agak terkejut apabila membaca laporan berita berhubung satu perjumpaan yang akan diadakan secara tidak formal antara menteri besar dan ketua menteri daripada tiga negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

"Saya agak terkejut apabila membaca bahawa akan ada perjumpaan tidak formal antara semua negeri yang akan mengadakan PRN. Saya tidak menerima sebarang surat rasmi atau jemputan mengenai perkara itu.

"Tetapi, selalunya selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raya, kita semua akan berkumpul dan berjumpa untuk berbincang beberapa isu semasa, secara tidak formal.

"Yang saya tahu, majlis yang paling hampir adalah seminggu sebelum bajet dibentangkan iaitu Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Selain itu, akan ada mesyuarat antara Perdana Menteri dengan MB dan KM dari semua negeri, yang juga akan diadakan pada minggu yang sama," katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kadun Padang Kota di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang bagaimanapun mengakui bahawa semua menteri besar dan ketua menteri daripada enam negeri itu pernah berbincang untuk menetapkan tarikh bagi mengadakan PRN secara serentak.

"Kita memang suarakan sebaik-baiknya kesemua enam negeri ini mengadakan PRN secara serentak," katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Pas akan berbincang dengan tiga negeri diterajui PH untuk menetapkan supaya tarikh PRN yang akan berlangsung nanti dapat diadakan serentak bersama Kelantan, Terengganu dan Kedah yang ditadbir parti itu.

Kata Ahmad Samsuri, perbincangan itu dijangka berlangsung minggu depan bersama menteri besar dan ketua menteri tiga negeri ditadbir PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.