Perak bakal wujudkan pusat memproses nadir bumi

Saarani ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2023 di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Saarani ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2023 di sebuah hotel di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Negeri Perak akan mewujudkan pusat pemprosesan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) lantanid yang di lombong di Mukim Kenering, daerah Hulu Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pusat pemprosesan NR-REE yang dirancang itu sebagai aktiviti industri hiliran bagi menghasilkan semi-produk dan produk akhir yang lebih bernilai tinggi.

Menurutnya, selain itu juga permohonan telah dikemukakan kepada kerajaan persekutuan untuk mempertimbangkan semula peruntukan sebanyak RM20 juta bagi kajian deposit bertujuan mengetahui potensi sumber mineral lain di Perak.

"Kita nak minta balik (peruntukan berkenaan) kerana kita yakin di Perak ini bukan sahaja lantanid, tetapi ada banyak lagi sumber mineral lain yang ada.

"Dengan RM20 juta yang diberikan itu membolehkan kita untuk mengkaji deposit bagi mineral lain dan kita akan minta tahun ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2023 di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Pada Ogos tahun lalu, kerajaan Perak menjangkakan kerja-kerja melombong nadir bumi lantanid akan dimulakan seawal bulan September tahun ini.

Berdasarkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), dianggarkan sebanyak 1.687 juta tan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bernilai lebih RM90.5 bilion mampu diperoleh kerajaan negeri melalui projek perlombongan mineral tersebut.

Penemuan mineral baharu yang cukup bernilai itu diperoleh ketika kerja-kerja mengekstrak bijih timah di kawasan tersebut.