Kos umrah: MOTAC perlu jumpa menteri, pihak hotel Arab Saudi

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) disaran mengadakan perbincangan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi dan sektor perhotelan di negara tersebut bagi menyelesaikan isu kenaikan kos umrah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kaedah sama turut digunakan oleh pihak kementerian dan Tabung Haji (TH) bagi isu kenaikan kos haji.

Menurutnya, TH bertanggungjawab bagi urusan haji manakala konteks umrah adalah di bawah seliaan MOTAC.

"Ketika disebut mengenai isu kenaikan haji, kita telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Haji dan Umrah kerajaan Arab Saudi dan sektor perhotelan di sana.

"Dalam konteks umrah, kita harap MOTAC boleh buat rundingan sama, supaya kos umrah dapat dikurangkan," katanya mengulas isu kenaikan kos umrah bermula awal tahun ini.

Beliau ditemui pada sidang akhbar prestasi kutipan dan agihan zakat Wilayah Persekutuan bagi tahun 2022 di Hotel Everly di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan isu kenaikan harga bilik hotel itu melibatkan kesemua jemaah seluruh dunia dan situasi itu di luar kawalan kerajaan di sana.

"Saya pernah bercakap (mengenai isu kenaikan kos) semasa bertemu dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq Fawzan Al-Rabiah baru-baru ini dan beliau memaklumkan perkara tersebut adalah di luar kerajaan Arab Saudi dan kena tanya kepada pemilik-pemilik hotel di sana.

"Jadi ini kekangan yang kita hadapi. Cuma dalam konteks haji, pihak TH boleh mengadakan rundingan tersebut dengan pihak hotel di sana dalam usaha mengawal atau mengurangkan harga," katanya.

Laporan media sebelum ini menyebut, jemaah umrah dikejutkan dengan jangkaan peningkatan harga pakej umrah yang didakwa mencecah sehingga 100 peratus.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Naib Presiden Haji dan Umrah Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Azri Abd Razak, kenaikan berpunca daripada kadar harga hotel di Kota Makkah dan Madinah yang meningkat secara mendadak pada masa ini.