Letupan pelabuhan Beirut: Pendakwa raya arah bebas semua tahanan

Saudara-mara membawa potret mangsa letupan pelabuhan Beirut 2020, ketika melakukan protes di hadapan kediaman Ghassan di Baabda, timur ibu kota Beirut pada Rabu. - Foto AFP
Saudara-mara membawa potret mangsa letupan pelabuhan Beirut 2020, ketika melakukan protes di hadapan kediaman Ghassan di Baabda, timur ibu kota Beirut pada Rabu. - Foto AFP
A
A
A

BEIRUT - Pendakwa raya Lubnan, Ghassan Oweidat pada Rabu memerintahkan pembebasan kesemua yang ditahan berhubung kes letupan di Pelabuhan Beirut pada 2020, lapor Sputnik.

Bagaimanapun, pembebasan itu tertakluk kepada syarat pergerakan mereka akan dihadkan iaitu dilarang meninggalkan negara.

Keputusan itu juga memperuntukkan kes berkenaan diserahkan kepada majlis kehakiman, lapor penyiar Lubnan LBC.

Sementara itu, menurut sumber di mahkamah Lubnan Oweidat akan mendakwa hakim Tarek Bitar, yang sedang menyiasat insiden letupan itu.

Baru-baru ini, Bitar memfailkan tuduhan terhadap ketua pendakwa raya dan pegawai berpangkat tinggi lain berhubung insiden itu dan mahu mereka dipanggil untuk disoal siasat pada Februari.

Siasatan oleh Bitar ditangguhkan pada Disember 2021 kerana tekanan politik.

Pada Isnin, hakim memutuskan untuk menyambung semula siasatan walaupun tiada kelulusan rasmi diberikan setakat ini.

Bitar turut memfailkan tuduhan terhadap ketua agensi perisikan domestik, Lubnan Abbas Ibrahim, bekas ketua angkatan tentera Jean Kahwaji serta pegawai keselamatan dan kehakiman yang lain.

Insiden letupan yang berlaku di Pelabuhan Beirut pada 4 Ogos 2020 itu mengorbankan sekurang-kurangnya 280 nyawa manakala lebih 6,000 lagi cedera serta beratus-ratus rumah dan kereta musnah atau rosak.

Menurut pihak berkuasa, insiden itu berpunca daripada 2,750 tan ammonium nitrat yang dirampas oleh kastam pada 2014 yang disimpan di dalam sebuah gudang meletup. Susulan kejadian itu Beirut telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana. - Bernama