Kutipan, jumlah pembayar zakat meningkat - PPZ-MAIWP

Dari kiri Mohd Daud, Mohd Na'im dan Abdul Aziz menunjukkan jumlah kutipan dan agihan bagi tahun 2022 pada sidang akhbar yang diadakan pada Khamis.
Dari kiri Mohd Daud, Mohd Na'im dan Abdul Aziz menunjukkan jumlah kutipan dan agihan bagi tahun 2022 pada sidang akhbar yang diadakan pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berjaya mengutip zakat keseluruhan sebanyak RM937 juta mengatasi sasaran awal RM900 juta bagi tahun 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kutipan itu meliputi zakat harta sebanyak RM923 juta manakala zakat fitrah dengan RM13.75 juta.

Menurutnya, kutipan meningkat 13 peratus berbanding RM828.7 juta pada 2021 sementara jumlah pembayar zakat juga turut menunjukkan meningkat 17 peratus daripada 1.6 juta orang kepada 1.83 juta orang.

"Meskipun berdepan pelbagai cabaran, PPZ-MAIWP berjaya mencapai sasaran kutipan atas beberapa faktor seperti kepelbagaian saluran bayaran zakat serta pelaksanaan promosi zakat secara berterusan dan meluas melalui pelbagai platform oleh PPZ-MAIWP.

"Langkah proaktif melalui program agihan baru seperti Kasih Asnaf Zero Hunger MAIWP dan Laman Cendawan secara tidak langsung turut meningkatkan keyakinan pembayar dan bakal pembayar untuk membuat bayaran kepada PPZ-MAIWP.

"Peningkatan Dasar Pengembalian Semula Wang Zakat (Skim Wakalah) melalui MAIWP dan Skim Kafalah Muzakki (sumbangan khairat kematian) yang ditawarkan kepada pembayar-pembayar zakat juga berjaya menarik minat pembayar baharu dan pembayar sedia ada untuk mengekalkan dan menambah bayaran zakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar prestasi kutipan dan agihan zakat Wilayah Persekutuan bagi tahun 2022 di Hotel Everly di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Mohd Na'im berkata, zakat pendapatan menyumbang kutipan tertinggi sebanyak RM631 juta bersamaan dengan 67 peratus daripada kutipan keseluruhan diikuti zakat perniagaan (RM139 juta) dan baki terdiri zakat-zakat lain.

"Sehingga Disember 2022, MAIWP telah mengagihkan lebih RM855.5 juta dana zakat kepada 220,769 penerima terdiri daripada lapan golongan asnaf yang memerlukan.

"Pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan dalam bentuk skim bantuan zakat, Al-Wakalah, Institusi Pendidikan dan Kebajikan, prasarana umat Islam serta belanja penyelenggaraan prasarana dan amil," katanya.

Ujar beliau, 2022 merupakan tahun peningkatan program pemerkasaan dan memberdaya usaha asnaf bagi membantu kumpulan tersebut keluar daripada kepompong kemiskinan dan seterusnya menjadi pembayar zakat.

Pada perkembangan sama, beliau memberitahu PPZ-MAIWP meletakkan sasaran kutipan zakat keseluruhan bagi tahun 2023 sebanyak 1.0264 bilion dengan jumlah bilangan pembayar 1,907,100 orang.

Ia babitkan zakat harta sebanyak RM1 bilion, zakat fitrah (RM13. 8 juta) dan wakaf tunai RM12.6 juta.