14 ditahan, 21 kes samun selesai

Polis merampas tujuh kenderaan termasuk dua motosikal yang disyaki digunakan untuk kes samun.
Polis merampas tujuh kenderaan termasuk dua motosikal yang disyaki digunakan untuk kes samun.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis berjaya menyelesaikan 21 kes samun membabitkan kerugian mencecah RM700,000 dengan tangkapan 11 lelaki dan tiga wanita dalam satu operasi khas dua minggu lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kesemua mereka yang dipercayai menganggotai kumpulan jenayah terancang dikesan aktif melakukan jenayah samun dan kekerasan di beberapa lokasi di Kedah.

Menurutnya, polis turut merampas barang kes yang terdiri daripada pelbagai jenis telefon bimbit, barang kemas, wang tunai, barangan berjenama, pelbagai jenis senjata tajam dan tujuh kenderaan dipercayai digunakan semasa kejadian samun.

"Jumlah rampasan bernilai RM200,000," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati terdapat suspek dikehendaki polis membabitkan kes samun dan dadah.

Tambah Wan Hassan, polis turut menyerbu premis pajak gadai bagi merampas kembali barang kemas milik mangsa samun.

"Kita tidak akan berkompromi terhadap peniaga jual beli emas yang mengaut keuntungan dan membantu mana-mana pihak yang dalam pengetahuannya adalah hasil daripada kegiatan jenayah," katanya.

Wan Hassan berkata, antara modus operandi yang dikesan ialah mensasarkan rumah yang terasing jauh, bergerak menaiki kenderaan di awal pagi secara berkumpulan dengan bersenjata parang serta mengugut bunuh seterusnya mengambil kesempatan menyamun barangan berharga milik mangsa.

Katanya, kes diklasifikasikan bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

"Kejayaan ini adalah salah satu usaha untuk menumpaskan kegiatan samun dan mengurangkan kadar jenayah kekerasan.

"Pihak polis amat menghargai kerjasama dan penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu memerangi jenayah," katanya.