Harap PM beri perhatian terhadap projek Pulau Pinang

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang berharap Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memberi perhatian terhadap beberapa projek di negeri dalam pembentangan Bajet 2023 yang akan dibentangkan Februari nanti.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap agar Anwar menghargai sumbangan Pulau Pinang, agensi negeri serta Pusat terhadap negara selama ini.

Beliau bagaimanapun, tidak mengharapkan semua projek yang dikemukakan akan diluluskan oleh kerajaan Pusat.

"Kita mengharapkan Perdana Menteri dapat menghargai sumbangan Pulau Pinang dan beberapa agensi negeri dan Pusat. Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) juga ada kemukakan projek-projek untuk dipertimbangkan.

"Kita berharap daripada beberapa projek yang kemukakan, tidak mungkin kita akan dapat semua tetapi sekurang-kurangnya cuba menimbang projek-projek keutamaan yang dapat membawa impak positif kepada pembangunan wilayah dan Pulau Pinang," katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kadun Padang Kota di sini pada Khamis.

Kata beliau, semua projek yang dikemukakan harus dilihat bukan sahaja dari Pulau Pinang sahaja malah seluruh wilayah utara.

"Bukan Pulau Pinang sahaja, seluruh wilayah utara juga ada memacu pembangunan. NCIA juga ada kemukakan projek keutamaan antaranya 'express way' yang baru selain lebuh raya bertingkat dari Juru ke Sungai Dua.

"Kedua-dua projek ini merupakan keperluan mendesak susulan berlaku kesesakkan lalu lintas yang teruk di kawasan tersebut," katanya.

Sebelum ini, Anwar mengakui wujud kebenaran bahawa Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak terpinggir daripada segi penerimaan peruntukan bajet daripada kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Anwar berkata, keluhan pimpinan kerajaan negeri berhubung perkara itu akan mendapat perhatian sewajarnya meskipun terdapat kekangan dalam aspek pendapatan dan perbelanjaan kerajaan.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan Pulau Pinang telah menghantar semula senarai projek keutamaan negeri ini kepada kerajaan hujung tahun lalu untuk disemak semula.

Menurutnya, antara projek keutamaan adalah Projek Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang sudah lama tertangguh sejak beberapa tahun lalu.

"Kita sudah menyerahkan semula senarai projek keutamaan pada hujung tahun lalu ketika kerajaan Pusat sedang menyiapkan bajet baharu.

"Oleh itu, kita memang sudah kemukakan senarai projek-projek itu yang antara projek keutamaan adalah LRT. Kita berharap ia akan dapat perhatian daripada kerajaan Pusat," katanya.

Tahun lalu, kerajaan Pulau Pinang telah menghantar surat kepada kementerian-kementerian berkaitan berhubung projek mega di negeri ini termasuk projek terowong dasar laut selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Projek terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer dan tiga jalan utama merupakan salah satu projek yang terkandung dalam Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai keseluruhan RM46 bilion.

Selain itu, Projek LRT juga merupakan salah satu projek di bawah PTMP yang mana, ia turut melibatkan monorel dan tiga buah lebuhraya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.

Bagaimanapun, permohonan bagi mendapatkan pinjaman serta jaminan berjumlah RM2 bilion berhubung projek LRT ditolak oleh Kementerian Kewangan pada 2020 lalu.

Projek LRT tersebut meliputi 29.9 kilometer laluan rel dengan 27 stesen dari Komtar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan tiga lagi kawasan membabitkan pulau-pulau tebus guna di selatan Pulau Pinang dengan anggaran kos sebanyak RM8 bilion.