Nafas terus perkasa integriti

Razim (kanan) dan Zamri (kiri) bergambar selepas menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di Ibu Pejabat Nafas, Kota Damansara.
Razim (kanan) dan Zamri (kiri) bergambar selepas menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di Ibu Pejabat Nafas, Kota Damansara.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan terus memperkasa integriti, nilai insan yang tinggi dan unggul bagi menjadikannya sebuah organisasi yang telus dan cemerlang.

Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, dalam mencapai hasrat itu, pihaknya mengambil pendekatan mengadakan Majlis Ikrar Bebas Rasuah, sebagai salah satu usaha dalam memerangi rasuah.

“Sebagai agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Nafas memikul tanggungjawab dalam memperbaiki sosioekonomi para peladang dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan serta memajukan industri pertanian negara.

Warga Nafas bersama-sama melafazkan ikrar bebas rasuah.
Warga Nafas bersama-sama melafazkan ikrar bebas rasuah.

“Justeru, penekanan ikrar yang dibuat secara sukarela ini penting supaya setiap individu akan melaksanakan tugas dengan lebih bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Razim Mohd Noor dan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang, Datuk Azulita Salim.

Program berkenaan turut disertai 257 petugas yang terdiri daripada barisan ahli jemaah pengarah, pengurusan dan pekerja Nafas di Ibu Pejabat Nafas, Kota Damansara.

IBR merupakan inisiatif yang diperkenalkan SPRM dalam memberi penekanan kepada ikrar dan janji dalam kapasiti individu bahawa mereka telah dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan tugas dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah sepanjang tempoh berkhidmat.