Dua peniaga didakwa kemuka tuntutan palsu insentif Penjana

Kedua-dua tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas selesai sebutan kes mereka dalam Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis
Kedua-dua tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas selesai sebutan kes mereka dalam Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis
A
A
A

KUANTAN - Dua peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 1.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM43,600 pada Oktober 2020.

Tertuduh, Arabath Ali Arul Alavudeen, 36, dan Mohmmed Ismail R P Mohamed Ibrahim, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama mengemukakan permohonan secara dalam talian insentif pengambilan pekerja melalui Program Penjana Kerjaya 1.0 berjumlah RM27,200.

Dalam permohonan itu, tertuduh didakwa mengemukakan senarai nama 17 pekerja Is Catering Sdn Bhd sedangkan pekerja tersebut tidak pernah memohon untuk bekerja di syarikat tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Perkeso Temerloh, Jalan Sudirman 3, Bandar Baru Seri Semantan,Temerloh pada 5 Oktober 2020.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh secara bersama didakwa mengemukakan permohonan sama bagi mendapatkan bayaran RM16,400 melalui insentif itu dengan mengemukakan 10 senarai nama pekerja yang sebenarnya bukan pekerja di syarikat itu.

Kesalahan itu dilakukan pada 6 Oktober 2020 juga di pejabat Perkeso Temerloh.

Bagi dua kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 24(2) Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Berikutan pengakuan tidak bersalah itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 setiap tertuduh bagi dua tuduhan itu dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam, N Venugopal dan R Maran mengemukakan rayuan agar wang jaminan ditawarkan dikurangkan dengan alasan tanggungan dan pendapatan tidak seberapa.

Mengambil kira rayuan itu, Ahmad Zamzani membenarkan wang jaminan dikurangkan kepada RM18,000 bagi setiap tertuduh selain diperintahkan menyerah pasport antarabangsa masing-masing kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 27 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.