20 pejabat pengeluar pasport beroperasi setiap hari mulai Jumaat

Saifuddin Nasution mempengerusikan mesyuarat khas bagi menyelesaikan isu yang melibatkan kesesakan di Pejabat Pasport dan di KLIA.
Saifuddin Nasution mempengerusikan mesyuarat khas bagi menyelesaikan isu yang melibatkan kesesakan di Pejabat Pasport dan di KLIA.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 20 Pejabat Pengeluar Pasport selain dari Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan beroperasi tujuh hari seminggu bermula Jumaat, sebagai langkah mengatasi isu kesesakan di kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara langkah lain yang turut digunapakai termasuklah penambahbaikan sistem temu janji secara dalam talian yang akan diberi tarikh dan masa berserta nombor giliran.

Beliau berkata, selain itu, mesin pencetak pasport di pejabat yang sesak dan mempunyai kadar pengunjung tinggi juga akan ditambah.

“Selain itu, pejabat pasport Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut beroperasi sebagai pejabat pengeluar pasport bagi kes segera dan kecemasan selain daripada permohonan biasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada malam Rabu.

Mengulas mengenai isu pelawat asing yang beratur panjang di KLIA, Saifuddin berkata, antara langkah segera yang akan diambil termasuklah kajian perluasan penggunaan sistem pagar automatik (autogate) kepada pelawat dari 10 buah negara yang berisiko rendah.

"Pewujudan dua kumpulan Pasukan Tindakan Pantas (QRT) akan mula beroperasi pada 1 Februari ini bagi membantu pegawai-pegawai di kaunter semasa waktu kemuncak," katanya.