Penyambungan semula projek ECRL tingkat keyakinan pelabur

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan disambung semula bakal meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pelabur terhadap pasaran Malaysia.

Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berkata, projek itu yang dijadual disambung semula pada bulan depan, membantu menarik minat lebih ramai ahli perniagaan China.

"Nampaknya negara ini mengalu-alukan penyertaan China dalam pembangunan ekonomi dan infrastruktur.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak wajar libatkan China kendali ECRL: Najib

"Saya sangat gembira kedua-dua pihak mempunyai rundingan yang baik. Satu situasi menang-menang telah dicapai," katanya dalam pertemuan meja bulat dengan media Malaysia di Kedutaan China di sini Khamis.

Sebaik projek itu selesai, ECRL akan menjadi saluran pengangkutan utama yang menghubungkan negeri di pantai timur dengan negeri di barat Malaysia, katanya.

Selama tiga tahun berturut-turut, China merupakan pelabur langsung asing terbesar dalam sektor perkilangan di Malaysia. Sebanyak 33 peratus pelaburan langsung asing ke Malaysia adalah dari China.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China mencecah paras tertinggi pada 2018, meningkat 13 peratus kepada US$108.6 bilion (RM443 bilion) daripada US$96 bilion (RM392 bilion) pada 2017. Ia menandakan tahun kesepuluh China sebagai rakan perdagangan terbesar di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Duta besar itu berkata penyambungan semula projek terbabit turut memberi manfaat kepada hubungan dua hala.

Pada 12 April lepas, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) memeterai SA yang membolehkan projek ECRL yang ditangguhkan, disambung semula.

Di bawah perjanjian baharu, kos pembinaan bagi Fasa 1 dan 2 ECRL akan disambung semula dengan harga RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada unjuran asal sebanyak RM65.5 bilion. - Bernama