Lelaki ditahan bersama syabu, heroin bernilai RM1,500

Syabu dan heroin yang dirampas dari suspek ketika polis menyerbu sebuah rumah di Penaga, Kepala Batas semalam.
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki ditahan di sebuah rumah di Jalan Permatang Keriang, Penaga di sini kerana memiliki dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan pada jam 11.30 pagi semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah terbabit, polis menjumpai syabu seberat 3.3 gram dan 30 gram heroin.

"Hasil siasatan mendapati dadah yang dirampas adalah untuk kegunaan sendiri dan dijual di port dadah.

"Nilai keseluruhan barang yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,500.

"Ujian saringan air kencing ke atas lelaki itu juga positif dadah jenis methamphetamine. Dia direman tujuh hari sehingga 24 April ini untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia