Tiada masalah pertindihan tapak bazar Ramadan

Khalid Abd Samad
Khalid Abd Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masalah pertindihan tapak bazar Ramadan tidak mungkin berlaku jika permohonan dibuat secara dalam talian kerana penjaja boleh membandingkan tapak melalui nombor kad pengenalan penjaja.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata demikian bagi mengulas isu yang dibangkitkan penjaja Lorong TAR/Jalan Masjid India yang mendakwa berlaku pertindihan penama bagi bazar Ramadan tahun ini.

"Tidak mungkin peniaga yang sama yang buat (berniaga) di bazar Ramadan dan hendak buat (berniaga) di pasar malam. Sila kemukakan aduan kepada pihak berwajar jika hal (pertindihan) ini berlaku.

"Sekiranya masalah yang timbul tidak mampu diselesaikan oleh Datuk Bandar, mereka boleh berjumpa dengan saya," katanya kepada media selepas majlis penyerahan kunci Residensi Wilayah kepada jaguh bina badan dunia, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah.

Penjaja sebelum ini dilapor mendakwa tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan borang permohonan secara dalam talian menyebabkan pertindihan tapak penjaja pasar malam dan bazar Ramadan.

Khalid juga menjelaskan beliau tidak akan mencampuri urusan berkaitan penugasan Datuk Bandar, yang sudah diberikan kepada ketua agensi di bawah kementerian itu. "Saya bukan orang yang mengambil tugas orang lain terutama kedudukan Datuk Bandar...setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai ketua mereka. Saya serahkan tugas untuk mereka jalankan dan saya tidak buat keputusan bagi pihak mereka.

“Bagaimanapun ada isu yang kami bincang bersama, saya sebagai menteri, saya hanya tetapkan dasar dan kaedah. Secara umum, kami bincang tetapi akhirnya saya mahu tengok Datuk Bandar, pengerusi Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) melaksanakan tugas masing-masing,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: