Polis tahan suami pukul isteri guna besi

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Polis menahan seorang lelaki selepas isterinya membuat laporan polis akibat dipukul menggunakan sebatang besi berukuran kira-kira 56 sentimeter panjang pada Ahad lepas di kediaman mereka di Kampung Tabanak di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek berusia 36 tahun ditahan ketika sedang berehat di rumah, kira-kira 15 minit selepas isterinya yang berumur 26 tahun membuat laporan polis pada pukul 10.30 malam.

Katanya, berdasarkan laporan, pasangan itu bertengkar pada kira-kira jam 6.00 petang Ahad lepas yang menyaksikan suspek mengamuk dan menumbuk kepala serta menendang muka isterinya sehingga mulut wanita itu berdarah.

"Suspek turut memukul isterinya menggunakan sebatang besi di bahagian kepada serta belakang badan sebelum melemparkan ‘dumbbell’ iaitu alat senaman ke badan wanita itu, dan anak tirinya turut dipukul suspek," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nasri berkata, wanita itu tampil ke balai polis kerana bimbang akan keselamatan diri serta anak tirinya, selepas suspek pada pukul 7.00 malam tadi sekali lagi mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Nasri berkata, hasil siasatan mendapati pasangan suami isteri itu baharu berkahwin pada 25 Febuari lepas dan ini merupakan perkahwinan kedua wanita berkenaan, kali ketujuh bagi suspek.

"Wanita itu merupakan surirumah manakala suspek tidak bekerja, dan difahamkan kejadian sedemikian kerap berlaku namun tidak dilaporkan kepada polis," katanya, dan menambah polis turut merampas sebatang besi berukuran 56 sentimeter serta satu unit dumbbell yang dipercayai digunakan untuk memukul wanita itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: