Dalam peti sejuk ada lipas

Pegawai Kesihatan Persekitaran MPSJ, Nordin Harun menampal notis penutupan pada pintu hadapan premis terbabit
Pegawai Kesihatan Persekitaran MPSJ, Nordin Harun menampal notis penutupan pada pintu hadapan premis terbabit
A
A
A

SUBANG - Ekoran terdapat lipas di dalam peti sejuk, sebuah premis makanan diarahkan untuk menghentikan operasi serta merta oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini.

Pengarah Kesihatan MPSJ, Dr Roslan Mohamed Hussin berkata, tindakan tersebut diambil selepas pihaknya melaksanakan pemeriksaan di bahagian dapur premis terlibat menerusi satu operasi yang dijalankan di Jalan SS15/4, Subang Jaya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan oleh pegawai kesihatan menemui beberapa ekor lipas di dalam peti sejuk premis terbabit malah pekerja restoran terlibat turut didapati tidak menguruskan bahan masakan dengan baik.

"Sebenarnya jika sesebuah premis mendapat peratusan markah yang agak tinggi, namun ia boleh dikenakan tindakan henti operasi sekiranya pegawai kesihatan menemui lipas atau najis tikus sewaktu pemeriksaan.

"Dan semua premis sewajarnya mendapatkan khidmat pasukan kawalan serangga kerana ia merupakan antara syarat Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelesenan MPSJ," katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan.

Pegawai Kesihatan Persekitaran MPSJ, Nordin Harun memeriksa barangan masakan di dapur premis berkenaan.
Pegawai Kesihatan Persekitaran MPSJ, Nordin Harun memeriksa barangan masakan di dapur premis berkenaan.

Mengulas lanjut, Roslan berkata pihaknya melaksanakan operasi tersebut melibatkan 50 buah premis restoran dan kedai runcit di kawasan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, operasi itu dijalankan susulan daripada pemeriksaan yang dilaksanakan sebelum ini ke atas premis-premis yang gagal mematuhi peraturan kesihatan ditetapkan.

"Operasi ini memang rutin buat Jabatan Kesihatan MPSJ malah kita juga giat melaksanakan operasi bersepadu dengan beberapa jabatan terlibat," katanya.

Terdapat lipas ditemui dalam peti sejuk premis berkenaan.
Terdapat lipas ditemui dalam peti sejuk premis berkenaan.

Dalam pada itu, Roslan memaklumkan bahawa sejak Januari hingga Mac tahun ini, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap hampir 600 buah premis sekitar Subang Jaya.

Tambah beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 12 premis mendapat gred D dan telah dikenakan tindakan oleh MPSJ.

"Terdapat dua peruntukan undang-undang dapat digunapakai oleh MPSJ bagi kesalahan ini iaitu di bawah Undang-Undang Kecil Establishment Makanan 2007 dan Undang-Undang dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MPSJ) 2007," katanya.

#subangjaya #mpsj Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjalankan pemeriksaan ke atas hampir 600 premis makanan sejak Januari hingga Mac tahun ini. Laporan MOJO Sinar Harian Selangor: ASYRAF MUHAMMAD

Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Thursday, April 18, 2019