Isu MMC ditangani dengan cekap, profesional: Exco

S Veerapan - Foto Bernama
S Veerapan - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan isu berkaitan penutupan Mawar Medical Centre (MMC) Seremban, ditangani dan dikendalikan dengan cekap serta profesional.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, penempatan semula pesakit MMC telah diatur dengan baik dan pesakit MMC telah ditempatkan di semua Unit Hemodialisis hospital kerajaan di negeri ini dalam menerima rawatan.

Beliau sekali gus membidas kenyataan bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendakwa penutupan MMC telah memberi kesusahan kepada pesakit untuk terus mendapatkan rawatan, terutamanya untuk hemodialisis.

"Kerajaan Pusat melalui Hospital Tuanku Jaafar menggerakkan semua kemudahan hemodialisis di hospital kerajaan dan pihak swasta dalam memastikan semua pesakit hemodialisis menyambung rawatan tanpa gangguan. Seramai 274 pesakit hemodialisis berjaya dirawat dengan berkesan dan profesional.

"Kesemua pesakit mendapat rawatan pada syif keempat (syif yang tamat jam 1 pagi) dan kini, pesakit diberi rawatan selewat-lewatnya di syif ketiga (syif yang tamat pada jam 9 malam) dan hanya ditempatkan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban dan Hospital Port Dickson,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad pada 7 April lalu, melahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Kesihatan serta kerajaan negeri berhubung penutupan Pusat Hemodialisis Mawar Hospital di Seremban yang memberi kesusahan kepada pesakit terus mendapatkan rawatan.

Veerapan berkata, melalui kerajaan negeri juga sebanyak lapan mesin hemodialisis telah disumbangkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban, manakala dua mesin hemodialisis di Hospital Port Dickson telah disumbang oleh Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kegunaan pesakit pada Januari lepas.

Menurutnya, mana-mana pihak yang cuba memanipulasi dan mempolitikkan isu penutupan MMC harus sedar bahawa usaha diambil kerajaan adalah untuk keselamatan pesakit dan dibuat secara profesional serta telus. - Bernama

Artikel Berkaitan: