Saya tak muflis: ADUN Morib

Notis pemakluman kebankrapan yang tular melalui aplikasi WhatsApp. Gambar kanan: Hasnul Baharudin
A
A

SHAH ALAM - ADUN Morib, Hasnul Baharudin menafikan dirinya bankrap seperti ditularkan di ruangan iklan sebuah akhbar.

Hasnul mengesahkan penama dimaksudkan adalah dirinya namun berlaku kesilapan berhubung notis pemakluman tersebut.

Menurutnya, perkara tersebut masih dalam proses penyelesaian dan aset yang dimaksudkan merupakan sebuah kedai strata telah dilelongkan.

"Pihak bank dan peguam telah khilaf sehingga keluar notis mahkamah. Pihak Bank Islam (pemiutang) berjanji akan membatalkan notis tersebut.

"Aset tersebut dibeli pada 1999 tidak mendatangkan hasil dan saya dah jelaskan bayaran pokok, cuma keuntungan kepada pihak bank belum habis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Pengesahan status bankrap membuktikan nama Hasnul tidak tersenarai.
Pengesahan status bankrap membuktikan nama Hasnul tidak tersenarai.

Jelasnya, kekeliruan tersebut boleh menjejaskan kedudukannya sebagai ADUN.

"Namun, semakan terbaru carian kebankrapan membuktikan nama saya tidak tersenarai di dalamnya.

"Pihak bank akan mengeluarkan notis pembatalan kebankrapan yang akan diubah kepada notis tuntutan bayaran hutang yang perlu dijelaskan," katanya.

Terdahulu, notis pemakluman kebankrapan atas penama Hasnul Baharudin mula ditularkan melalui aplikasi WhatsApp sejak hari ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia