Saksi ke-6 bina stor rumah Najib berharga RM243,000

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi ke-6 pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC International memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, syarikat pembinaan dan hiasan dalaman miliknya telah dilantik untuk menjalankan kerja untuk membina stor dan sebuah dapur kering di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di No 11 Jalan Langgak Duta.

Pemilik Syarikat Abs Trendmaster Sdn bhd, Zulkarnain Mohamad, 46, ketika dalam sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad, Saifuddin Hashim Musaimi memberitahu, dia mendapat tawaran membuat kerja tersebut daripada seorang pengurus kediaman rumah perdana menteri bernama Amirul Hadi antara Ogos hingga September 2015.

Menceritakan mengenai tawaran tersebut Zulkarnain memaklumkan, dia telah menerima satu panggilan telefon sebelum menemui Amirul Hadi di Shell selepas tol Jalan Duta dan dibawa ke lokasi kediaman 'Orang No 1' yang dimaksudkan.

"Pada mulanya saya menolak tawaran tersebut dan menyatakan tidak layak, namun diyakinkan oleh Amirul Hadi sebelum bersetuju untuk melakukan kerja tersebut," katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menjelaskan mengenai kerja-kerja yang dilakukan, Zulkarnain berkata, dia membina sebuah stor di belakang kediaman itu dilengkapi pintu dan tingkap selain membina dua unit kabinet pakaian bersaiz 12 kaki setiap satu, selain besen cuci tangan dan tempat minuman di bahagian dapur kering.

"Selepas bersetuju, saya kemudian mengukur kawasan terlibat dan mula membuat draf sebelum menyerahkan kerja melukis pelan kepada pereka syarikat bernama Mohd Ikram dan memberikan lakaran dan sebut harga dalam tempoh seminggu selepas pertemuan itu," katanya.

Ditanya mengenai harga yang ditawarkan bagi kerja-kerja tersebut, Zulkarnain menjawab ia antara RM243,000 atau RM234,000 dan memberitahu, Amirul Hadi bersetuju dengan lakaran dan sebut harga tersebut.

Zulkarnain berkata, kerja membina stor itu dimulakan selepas menerima deposit dalam bentuk cek berjumlah RM50,000 dan siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Zulkarnain berkata, selain kerja membina stor dan sebuah dapur kering, dia turut membuat kerja membaik pulih pondok kawalan polis di kediaman itu serta membaiki pagar di rumah sampah yang rosak.

Dia turut memaklumkan telah menerima cek baki bayaran sebanyak RM100,000 atas nama Abs Trendmaster Sdn Bhd cek itu ditunaikan ke akaun bernombor 562853100902.

Sementara itu, ketika sesi soal balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Zulkarnain berkata, dia tidak mengetahui tujuan stor dan kabinet pakaian tersebut dibina.

Zulkarnain juga memaklumkan dia ada beberapa kali melihat kelibat Ahli Parlimen Pekan itu namun tidak pernah menegurnya dan tidak akan melakukan kerja pembinaan sekiranya Najib berada di rumah kerana bimbang ia mengganggunya.

Beliau juga memaklumkan ada melihat majlis bacaan Yasin di rumah tersebut oleh anak-anak yatim sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

Terdahulu pada sesi sebelah pagi mahkamah telah dirujuk dengan 17 keping cek termasuk salah satunya dikeluarkan atas nama syarikat Abs Trendmaster Sdn Bhd pada 12 Februari 2015.