[VIDEO] Budaya derma sudah jadi darah daging Pas - Razman

Razman Zakaria
Razman Zakaria
A
A
A

IPOH - Pas Perak menyifatkan kenyataan UMNO yang menyamakan budaya sedekah dengan amalan rasuah sebagai kecelaruan yang boleh membahayakan negara.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, ini kerana budaya pemberian derma yang menjadi tuntutan agama telah dihidupkan oleh Pas sejak sekian lama.

Katanya, sebagai contoh, Pas Perak kini sedang menggerakkan usaha membangunkan kompleks sendiri di atas tanah seluas 1.62 hektar hasil infak dan derma yang digerakkan melalui kutipan di kawasan-kawasan Pas.

Tambah Razman lagi, semua aktiviti Pas yang dijalankan adalah hasil derma oleh ahli dan rakyat yang menyokong parti sehingga ia dikenali dengan nama ‘parti tin Milo’.

“Suka saya tegaskan bahawa budaya derma telah menjadi darah daging dan sebati dalam perjuangan ahli Pas.

"Mungkin mereka yang biasa bergelumang dengan rasuah melihat setiap pemberian itu bermaksud kepentingan diri.

“Bagi Pas dan ahlinya, setiap sumbangan derma bermatlamat akhirat dan rasuah adalah sesuatu yang keji di dalam Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menempelak kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya hanya ibarat sedekah kepada pengundi.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid berkata, sebagai ulama, pemimpin Pas seharusnya mempunyai integriti dan tidak boleh bertukar ‘fatwa’ sesuka hati.

Sabtu lalu, Abdul Hadi dilaporkan menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanya sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas tindakan UMNO Terengganu yang memfailkan petisyen bagi kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman dengan alasan wujud rasuah kepada pengundi di ketiga-tiga kerusi terbabit ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). - Awani

ARTIKEL BERKAITAN: 'Hanya mahkamah boleh tentukan sedekah atau rasuah'

ARTIKEL BERKAITAN: 'Sedekah' pilihan raya kepada pengundi tetap rasuah

ARTIKEL BERKAITAN: Pas tak pernah amal politik wang, sogok rasuah

ARTIKEL BERKAITAN: Mungkin Hadi dah jumpa dalil halalkan cara - Veteran UMNO

ARTIKEL BERKAITAN: PRU15: Isham mahu Hamzah jelas niat PN beri duit