17 keping cek kepada parti politik, individu dan syarikat

Saksi kelima pendakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Pengurus Kanan Bahagian Pemprosesan Cek AmBank Badrul Hisham Mohamad, 42, tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Saksi kelima pendakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Pengurus Kanan Bahagian Pemprosesan Cek AmBank Badrul Hisham Mohamad, 42, tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak Pendakwaan mengemukakan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini sebanyak 17 keping cek yang dikeluarkan daripada empat akaun berbeza termasuk akaun milik Datuk Seri Najib Razak dan akaun semasa milik SRC International Sdn. Bhd.

Kesemua cek yang dirujuk oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi itu disahkan oleh saksi ke-5 Badrul Hisam Mohamad, yang merupakan Pengurus Kanan Pusat Pemprosesan Cek, AmBank Malaysia Bhd.

Menurut saksi yang telah lebih 20 tahun berpengalaman dalam bidang tersebut, kesemua cek tersebut telah berjaya ditunaikan selepas maklumat yang diperlukan untuk urusan transaksi tersebut telah lengkap.

Daripada 17 keping cek yang dirujuk, sebanyak 14 cek dikeluarkan daripada akaun AmIslamic Bank bernombor 2022011906 kepada beberapa pihak termasuk parti politik, individu, dan syarikat.

Terdapat cek berjumlah RM1 juta telah dikeluarkan daripada akaun AmBank Islamic sama kepada Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang pada 26 Februari 2015, manakala sejumlah RM300,000 dikeluarkan kepada UMNO Bahagian Johor Bahru pada tarikh yang sama.

Selain itu, akaun yang sama turut mengeluarkan cek berjumlah RM240 kepada Syarikat Viral Spire Sdn Bhd; Zulqarnain & Co berjumlah RM2.5 juta; Centre of Strategic Engagement Sdn Bhd sebanyak RM300,000, Sejumlah RM239,914 kepada penerima bernama Lim Sum Peng dan syarikat ABS Trend Master Sdn Bhd berjumlah RM100,000.

Selain itu cek berjumlah RM1 juta dikeluarkan atas parti UPKO pada 13 Februari 2015 selain cek berjumlah RM400,000 kepada pemegang amanah Rumah Penyayang Tun Abdul Razak, dan sejumlah RM1 juta dikeluarkan untuk syarikat Solar Shine Sdn Bhd.

Dalam pada itu, terdapat juga cek yang dikeluarkan atas nama Asmadi Abu Talib berjumlah RM50,000 dan sejumlah RM13, 800 kepada Manisah Othman selain RM56,500 kepada MOZ Malaysia Sdn Bhd pada tarikh 12 Februari 2015 dan cek berjumlah RM 77,300 kepada Syadilah Enterprise.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama saksi turut mengesahkan sekeping cek berjumlah RM3.5 juta telah diisukan atas nama Hafarizam Wan Aishah Mubarak daripada akaun 2022011898 pada 21 Januari 2015.

Dalam pada itu saksi turut mengesahkan dua keping cek dikeluarkan oleh syarikat SRC International Sdn Bhd melalui dua akaun berbeza kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd masing-masing berjumlah RM20 juta pada 12 Disember 2014 dan RM103,351.17 pada 9 Mac 2015.

Perbicaraan yang bermula jam 9 pagi di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali masih berlangsung.