Sinar Harian rangkul tiga anugerah

Pengamal media bersama pegawai dan kakitangan akademik UniSZA pada Malam Anugerah Kewartawanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 2019 yang berlangsung di Hotel Permai, di sini, malam tadi.
Pengamal media bersama pegawai dan kakitangan akademik UniSZA pada Malam Anugerah Kewartawanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 2019 yang berlangsung di Hotel Permai, di sini, malam tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sinar Harian merangkul tiga anugerah pada Malam Anugerah Kewartawanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 2019 yang berlangsung di Hotel Permai, di sini, malam tadi.

Wartawan Sinar Harian daerah Besut, Mohd Taha Yaacob telah berjaya memenangi Anugerah Penulisan Berita Terbaik (Bahasa Malaysia) bagi kategori komuniti/am menerusi artikel ‘UNiSZA tawar konsep pawah ternak kambing tenusu’ yang disiarkan pada 22 Oktober 2018.

Seorang lagi wartawan Sinar Harian, Nurul Huda Husain berjaya memenangi kategori Anugerah Penulisan Berita Terbaik (Bahasa Melayu) bagi kategori siswa melalui artikel ‘UniSZA ada The Meow Park’ yang disiarkan pada 5 April 2018.

Sinar Harian turut memenangi Anugerah Liputan Berita Akhbar Terbanyak bagi kategori media cetak.

Kesemua pemenang membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai RM500 setiap seorang yang disampaikan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniSZA, Prof. Ir. Dr R Badlishah Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr Kamarul Shukri Mat Teh dan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), Wan Abd Rahman Wan Hayat.

Sebanyak 19 anugerah mengikut kategori dipertandingkan, termasuk Anugerah Khas Media Naib Canselor yang diberikan kepada bekas wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Allahyarham Khalid Abdullah.

Sementara itu, Dr Hassan Basri ketika berucap berkata, majlis itu diadakan bagi menghargai segala usaha dan kerjasama pengamal media dalam mengangkat UniSZA sebagai tema berita.

Artikel Berkaitan:

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 612 artikel dan penerbitan berkaitan UniSZA telah dikeluarkan di media cetak dan elektronik, berbanding hanya 564 berita pada tahun sebelumnya.

“Kami amat menghargai dan mengiktiraf jasa pengamal media yang turut sama membantu menaikkan nama universiti ini sebagai salah sebuah universiti berprestij yang menjadi pilihan bukan sahaja pelajar tempatan tetapi juga antarabangsa,” katanya.