Kementerian Pengangkutan beri kerjasama penuh kepada SPRM

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook menjawab pertanyaan media pada sidang media selepas hadir melancarkan pembukaan stesyen baharu FedEx Johor di i-Park Senai Airport City di sini.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook menjawab pertanyaan media pada sidang media selepas hadir melancarkan pembukaan stesyen baharu FedEx Johor di i-Park Senai Airport City di sini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pengangkutan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya ada penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang terlibat dengan unsur rasuah.

Menterinya, Loke Siew Fook berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan tegas SPRM termasuklah penahanan 23 penguat kuasa JPJ, baru-baru ini.

“Kerajaan PH memang kita tegas untuk membersihkan pentadbiran kerajaan dalam semua peringkat, bukan hanya di peringkat menteri Kabinet sahaja.

“Tetapi semua peringkat termasuklah di peringkat pegawai penguat kuasa,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan stesyen baharu FedEx di i-Parc Senai Airport City di sini hari ini.

Siew Fook berkata, dakwaan pegawai penguat kuasa JPJ melindungi pengusaha lori dan sebagainya memang sudah lama didengari, namun memerlukan bukti bagi menguatkuasakan undang-undang.

"Ia memerlukan siasatan yang rapi dan perancangan daripada pihak SPRM. Sudah tentu, kita yakin kepada keupayaan SPRM menjalankan siasatan dan membuat tangkapan.

"Bagi kita di peringkat Kementerian Pengangkutan, kita sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM," katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap kredibiliti, keupayaan dan semangat Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid dalam membersihkan nama JPJ daripada unsur-unsur rasuah di jabatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada penguat kuasa JPJ akan distruktur semula susulan kes tersebut, Siew Fook berkata, Kementerian Pengangkutan sentiasa melihat cara untuk memperbaiki kelemahan yang wujud.

"Tetapi sebelum kita memuktamadkan apa-apa perancangan, saya tidak mahu memberikan komen lebih lanjut.

"Cuma bagi pihak kerajaan, kita sentiasa melihat apakah cara terbaik untuk dapat menjalankan pentadbiran dengan penuh integriti dan efisien," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seramai 31 individu termasuk 23 penguat kuasa JPJ ditahan SPRM selepas dipercayai terlibat melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.