Masalah tiada dokumen pengenalan diri di Sabah berkurang

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Sabah Datuk Godfrey Gregory Joitol ketika ditemui pada Program Bersama Masyarakat dan Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS) anjuran Suhakam dengan kerjasama Pejabat Daerah Tuaran dan Perbendaharaan Malaysia Sabah di Dewan Masyarakat Pekan Kiulu hari ini. - Foto Bernama
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Sabah Datuk Godfrey Gregory Joitol ketika ditemui pada Program Bersama Masyarakat dan Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS) anjuran Suhakam dengan kerjasama Pejabat Daerah Tuaran dan Perbendaharaan Malaysia Sabah di Dewan Masyarakat Pekan Kiulu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TUARAN - Masalah penduduk tempatan di kawasan pedalaman di negeri ini yang tiada dokumen pengenalan diri telah berkurangan berikutan tindakan aktif Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Mahkamah melaksanakan perkhidmatan bergerak.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Sabah, Datuk Godfrey Gregory Joitol berkata, menerusi perkhidmatan bergerak itu, JPN dan Mahkamah pergi ke kawasan pedalaman untuk mendaftar kanak-kanak penduduk tempatan yang tiada sijil kelahiran.

Katanya, setiap permohonan daftar lewat sijil kelahiran perlu disokong oleh Majistret yang akan mendapatkan bukti bahawa ibu bapa kanak-kanak terlibat adalah rakyat negara ini.

"Pelaksanaan perkhidmatan bergerak oleh JPN bersama Mahkamah ini membolehkan proses permohonan daftar sijil kelahiran lewat dapat diluluskan dalam tempoh singkat.

"Perkhidmatan ini memudahkan penduduk di pedalaman memperoleh dokumen pengenalan diri setelah gagal berbuat demikian disebabkan masalah kewangan dan lokasi kampung yang jauh dari pejabat JPN," katanya ketika ditemui selepas Majlis Program Bersama Masyarakat dan Perkhidmatan Komuniti Bergerak Anjuran Suhakam dengan kerjasama Pejabat Daerah Tuaran dan Perbendaharaan Malaysia di Kiulu dekat sini, hari ini.

Sebanyak 20 agensi kerajaan menyertai program itu antaranya JPN, Biro Pengaduan Awam, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pertanian dan Jabatan Imigresen. Godfrey berkata, hak asasi manusia membabitkan kerakyatan dari segi pemilikan dokumen pengenalan diri merupakan antara masalah yang banyak Suhakam suarakan menerusi program yang dijalankan di negeri ini.

Katanya setiap bulan, Suhakam menerima 50 aduan mengenai pelanggaran hak asasi manusia di negeri ini dan daripada jumlah itu, 70 peratus adalah mengenai masalah tiada dokumen pengenalan diri iaitu membabitkan kad pengenalan dan sijil kelahiran.

Menurutnya banyak aduan yang diterima membabitkan lelaki rakyat negara ini berkahwin dengan wanita warga asing, termasuk dengan yang tiada dokumen pengenalan diri, dan perkahwinan tidak didaftarkan secara rasmi.

Artikel Berkaitan:

"Jika mereka memperoleh anak, sijil kelahiran tidak boleh dikeluarkan disebabkan dasar kerajaan tidak membenarkan pemberian sijil kelahiran dan kad pengenalan kepada kanak-kanak yang ibu bapa mereka tidak mendaftar perkahwinan secara rasmi," katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak ini terpaksa menunggu lama untuk memohon kerakyatan menerusi pertimbangan Kementerian Dalam Negeri. - Bernama