Tiga lelaki direman curi genset JPO, besi

Genset yang dicuri suspek selain dua kereta dan tujuh telefon bimbit - Foto: Polis Kulai
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga lelaki direman empat hari bagi membantu siastan berhubung kes curi enjin jana kuasa atau genset di Johor Premium Outlet dan besi di Senai.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, salah seorang suspek direkodkan mengaku terlibat dengan aktiviti itu.

"Kita buat serbuan dan tangkap tiga lelaki berusia 25 tahun hingga 27 tahun di dua lokasi berasingan di kawasan Permas Jaya dan Simpang Renggam.

"Hasil siasatan awal, salah seorang suspek mengaku terlibat dalam kes curi genset di JPO dan besi I-Beam di Kampung Pasir, Senai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Polis merampas dua buah kereta, tujuh telefon bimbit dan empat unit genset.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.