Tiga pelajar terima Anugerah Khas Menteri Besar

Ahmade Samsuri (tengah) bersama Satiful Bahri merakam gambar bersama sebahagian pelajar cemerlang yang diraikan sempena Majlis Hafl el-Takrim Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu 2019 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), hari ini.
Ahmade Samsuri (tengah) bersama Satiful Bahri merakam gambar bersama sebahagian pelajar cemerlang yang diraikan sempena Majlis Hafl el-Takrim Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu 2019 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiga pelajar cemerlang menerima Anugerah Khas Menteri Besar dalam Majlis Hafl el-Takrim Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu 2019 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), hari ini.

Kesemua mereka mendapat keputusan cemerlang di dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018.

Muhammad Faidhu Rahman Kamalruazmi, 19, dan Nik Karimah Nik Abdul Ghaffar, 20, masing-masing memperoleh keputusan Mumtaz Sofi (Amat Cemerlang) dalam STAM manakala Nur Syahidah Hassan, 20, mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 di dalam STPM.

Anugerah itu disampaikan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada wakil ketiga-tiga pelajar yang kini sedang melanjutkan pengajian ke luar negara.

Ahmad Samsuri ketika berucap menasihati pelajar supaya tidak patah semangat dan terus teguh dalam menuntut ilmu walaupun berdepan pelbagai ujian dan cabaran.

"Perjalanan anak-anak masih panjang dan penuh dengan ranjau di kiri dan kanan. Ada yang gagal untuk berdepan cabaran dan suasana yang berbagai-bagai terutama mereka yang akan ke luar negara.

“Sekiranya tidak sanggup mencari jalan terhadap masalah yang dihadapi, anak-anak akan tewas walaupun asalnya merupakan pelajar cemerlang.

"Jadi, ini yang perlu disematkan dalam diri masing-masing dan jangan sesekali berasa cukup dengan apa yang dicapai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Azmi Mat Arsyad.

Seramai 165 pelajar Cemerlang STAM (Mumtaz, Jayyid Jiddan, Jayyid), STPM dan SPM 2018 serta 81 guru dan pengetua diraikan dalam majlis itu.