DUN Perak kecoh isu pawagam, Taliban

Mohd Akmal (dua dari kanan) mendesak permohonan maaf daripada Zhemin dan Kor Ming yang mengeluarkan kenyataan menganggu keharmonian.
Mohd Akmal (dua dari kanan) mendesak permohonan maaf daripada Zhemin dan Kor Ming yang mengeluarkan kenyataan menganggu keharmonian.
A
A
A

IPOH - Sidang DUN Perak hari ini kecoh selepas isu panggung wayang yang dikaitkan dengan kes HIV di Kelantan dan Taliban dibangkitkan Mohd Akmal Kamaruddin (Selama-Pas).

Mohd Akmal dalam perbahasannya meminta ADUN Keranji, Chong Zhemin yang mengaitkan jumlah kes HIV tinggi di Kelantan dengan ketiadaan panggung wayang di negeri itu supaya memohon maaf kepada rakyat Kelantan.

Beliau berkata, statistik sebenar menunjukkan jumlah kes HIV paling tinggi adalah di Selangor yang sememangnya ada panggung wayang.

"Kita mendesak supaya Keranji (Zhemin) memohon maaf kepada seluruh rakyat Kelantan atas tuduhan tidak berasas itu. Apa kena mengena panggung wayang dengan kes HIV?

"Tahukah Keranji, polisi tiada panggung wayang itu bermula dari pentadbiran Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kenapa sekarang DAP bersungguh-sungguh mempertikaikan perkara ini?," katanya ketika sesi perbahasan titah Sultan Perak pada Sidang DUN Perak, hari ini.

Mohd Akmal turut meminta Nga Kor Ming (Aulong-DAP) mengemukakan permohonan maaf kerana mengaitkan kerjasama UMNO dan Pas mirip Taliban kerana ia mencetuskan suasana tidak harmoni di dalam masyarakat.

Loh Sze Yee (Jalong-DAP) kemudian mencelah bertanyakan kepada Mohd Akmal adakah permohonan maaf turut diminta daripada MCA yang sebelum ini turut melabel Pas sebagai Taliban.

Mohd Akmal kemudiannya bersedia meminta permohonan maaf itu jika DAP sedia meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada parti itu yang sebelum ini menuduh DAP sebagai parti perkauman.

Artikel Berkaitan:

Tindakan itu kemudiannya mencetuskan suasana tegang di dalam Dewan namun keadaan terkawal.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Mohd Akmal turut mengulangi isu itu mendesak permohonan maaf daripada kedua-dua ADUN DAP berkenaan.

Katanya, kenyataan tersebut tidak bertanggungjawab dan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.