'Tolong henti sebar gambar kami'

Rizuwan (empat, kanan) menerima sumbangan pelbagai pihak yang berkunjung ke rumahnya di Kampung Ladang, hari ini.
Rizuwan (empat, kanan) menerima sumbangan pelbagai pihak yang berkunjung ke rumahnya di Kampung Ladang, hari ini.
A
A
A

TANJUNG KUPANG - Seorang bapa kepada tiga anak merayu orang ramai agar berhenti menularkan gambar keluarganya yang tinggal di dalam sebuah pondok kecil.

Muhammad Rizuwan Majid, 29, berkata, dia sendiri tidak tahu bagaimana kisah keluarganya itu menjadi tular hingga menarik perhatian pelbagai pihak.

"Saya minta hentikan viral gambar kami sekeluarga. Kami ada keluarga yang perlu dijaga air muka. Saya tak minta bantuan mana-mana pun dan saya tak tahu macam mana boleh tular.

"Saya tak nak kerana gambar itu, saya terpisah dengan keluarga saya. Saya tetap cuba cari rezeki untuk beri mereka makan setiap hari," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Ladang, hari ini.

Kisah keluarga yang tinggal di pondok tanpa bekalan air dan elektrik ini menjadi tular di media sosial dua hari lalu hingga meraih simpati pelbagai pihak.

Difahamkan pasangan ini telah tinggal di situ selepas berpindah dari sebuah bengkel berhampiran.

Kini, Rizuwan tidak dapat turun ke laut kerana menjaga isterinya yang baru melahirkan bayi perempuan berusia 22 hari.

Selain mencari rezeki di laut, Rizuwan turut melakukan kerja-kerja kampung bagi menampung kehidupan mereka termasuk dua anaknya lagi yang berusia tujuh tahun dan empat tahun.

Artikel Berkaitan:

Mereka menumpang mandi di rumah datuk saudaranya yang terletak bersebelahan dengan pondok yang dibinanya.

Menerima pelbagai sumbangan berupa barangan keperluan dan wang tunai, Rizuwan bersyukur atas bantuan dihulurkan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga Pertubuhan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat PH Johor, Nor'aini Adnan berkata, pihaknya bersama agensi lain yang terlibat berusaha mendapatkan rumah transit kepada keluarga ini secepat mungkin sebelum ditempatkan di Program Perumahan Rakyat (PPR).

"Memang bukan dia minta tapi sebagai saudara sesama Islam kita bantu. Exco akan uruskan untuk dapat rumah PPR tapi sementara ini mereka perlukan rumah transit sementara.

"Kita dah nak sambut puasa, ada bayi kecil lagi, biarlah mereka selesa. Saya harap dipermudahkan urusan ini dan mereka dapat rasa keselesaan untuk Ramadan dan Aidilfitri nanti," katanya yang turut menyantuni keluarga itu.

Nor'aini sempat berbincang dengan Rizuwan (kanan) dan Nordin (dua dari kanan) berkenaan penempatan sementara di rumah transit semasa menyantuni keluarga itu, hari ini.
Nor'aini sempat berbincang dengan Rizuwan (kanan) dan Nordin (dua dari kanan) berkenaan penempatan sementara di rumah transit semasa menyantuni keluarga itu, hari ini.

Semalam, Exco Perumahan, Dzulkefly Ahmad yang melawat keluarga itu berkata, kerajaan negeri akan berusaha mendapatkan rumah PPR untuk mereka namun bagi jangka masa pendek keluarga itu perlu ditempatkan di rumah transit di bawah Majlis Agama Islam Johor atau Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Ketua Kampung Ladang, Nordin Jaafar berkata, beliau telah menemui sebuah rumah yang boleh didiami keluarga ini segera namun memerlukan sedikit kerja baik pulih.

"Saya ada carikan sebuah rumah kecil di Kg Ladang Darat, sudah ada bekalan air dan elektrik tapi kita perlukan dana sekitar RM2,000 untuk baiki sedikit dan bina tandas kecil.

"Jadi saya minta mana-mana agensi atau pihak yang sudi membantu kami melaksanakan kerja baik pulih ini supaya mereka dapat pindah masuk segera," katanya.

Semenetara itu, nasib keluarga ini turut menerima perhatian Pasaraya Econsave, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Johor.

Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, pihaknya mendapat info tentang keluarga ini semalam dan terus tubuhkan pasukan untuk hantar bantuan hari ini.

"Kami sumbangkan pelbagai barangan keperluan bernilai RM1,000," katanya.

Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang pula berkata, melalui unit tanggungjawab sosial korporat, staf Perkeso berjaya mengumpul sumbangan sekitar RM400 untuk keluarga ini.

"Kita juga bantu dua keluarga lain di Permas dan Kulai hari ini," katanya.

Pegawai Seranta YPM Johor, Mohd Yusof Ahmad berkata, pihaknya boleh menurunkan tenaga mahir untuk membina tandas dan membaiki rumah transit mereka.

"Insya-ALLAH pegawai kita akan turun untuk melihat lokasi," katanya.