Pemuda Pas gesa polis ambil tindakan terhadap Asiah

Saiful Amri (empat dari kanan) bersama Pemuda Pas Kepala Batas menunjukkan laporan yang dibuat mereka terhadap pemilik akaun facebook bernama Asiah Abd Jalil.
Saiful Amri (empat dari kanan) bersama Pemuda Pas Kepala Batas menunjukkan laporan yang dibuat mereka terhadap pemilik akaun facebook bernama Asiah Abd Jalil.
A
A
A

KEPALA BATAS - Pemuda Pas Kawasan Kepala Batas menggesa polis agar mengambil tindakan terhadap pemilik laman Facebook menggunakan nama Asiah Abd Jalil yang memuat naik kenyataan menghina keperibadian Nabi Muhammad SAW.

Ketua Lajnah Dakwah, Dewan Pemuda Pas Kepala Batas, Saiful Amri Ibrahim berkata, kenyataan Asiah yang disedarinya pada jam 11.30 malam, 15 April lalu berkisar tentang fitnah dan perihal yang memburuk, meremehkan serta menghina Rasulullah.

Menurutnya, di antara perkara yang ditulis dan dimuat naik dalam status oleh pemilik akaun Facebook terbabit ialah jangan jadikan nabi sebagai contoh dalam bab rumah tangga dan Nabi senang-lenang beribadah di Gua Hira' dengan meninggalkan anak-anak di bawah jagaan isteri seorang.

"Ternyata, kenyataan ini jelas memperlekehkan Nabi Muhammad SAW serta menghina keperibadiannya.

"Sebagai seorang Islam, dia (Asiah) tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sebegitu yang menghina Nabi Muhammad SAW dan membangkitkan kemarahan serta mengguris perasaan umat Islam di negara ini,"katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini malam tadi.

Saiful Amri berkata, perbuatan pemilik akaun Facebook terbabit adalah satu penghinaan terhadap peribadi Rasulullah SAW sekaligus penghinaan kepada seluruh umat Islam.

Beliau berharap agar polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat melakukan siasatan serta mengambil tindakan tegas termasuk menyekat akaun Facebook individu berkenaan atas kenyataannya yang melampau dan menghina Nabi Muhammad SAW.

Dalam masa yang sama, pihaknya juga menggesa agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengeluarkan kenyataan segera dan tegas berhubung isu menghina Nabi yang kerap terjadi di Malaysia.

Artikel Berkaitan: