Keputusan di Bukit Jalil bukan penamat

No Image Caption
A
A
A
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tidak mahu pemain Harimau Malaya terlalu kecewa dengan keputusan seri 2-2 sebaliknya perlu segera bangkit untuk aksi timbal balik di Hanoi, Sabtu ini.

Jelasnya, keputusan itu bukan penamat buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe kerana percaya peluang Malaysia masih terbuka asalkan pemain segera bangkit dan fokus untuk aksi timbal balik kedua itu.

"Walaupun kita seri di laman sendiri, saya berharap Cheng Hoe, pemain, barisan kejurulatihan dan pegawai akan terus bersemangat untuk berjuang bagi menghadapi aksi di Hanoi nanti.

"Jangan terlalu kecewa kerana peluang masih lagi terbuka. Kita perlu terus fokus dan berfikiran positif kerana masih ada baki 90 minit lagi untuk memastikan Malaysia dapat menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali kedua dalam sejarah. Terus berjuang Harimau Malaya!," ujarnya.

Pada masa sama, Hamidin turut menghargai sumbangan penyokong bola sepak tempatan di seluruh negara yang sentiasa berada di belakang pasukan.
Artikel Berkaitan:


"Terima kasih buat semua penyokong pasukan bola sepak Malaysia terutama Ultras Malaya yang hadir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, bagi memberikan sokongan padu buat skuad Harimau Malaya.

"Tidak lupa buat seluruh rakyat Malaysia yang bersama menonton menerusi siaran langsung di televisyen dan turut mendoakan kejayaan skuad Harimau Malaya untuk memburu kejuaraan Piala Suzuki AFF 2018," katanya.