Dua mangsa rentung dipercayai suami isteri

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Dua mangsa yang rentung dalam kebakaran treler di Kilometer (KM) 259.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Seremban-Port Dickson di sini pada Jumaat dipercayai merupakan suami isteri.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mangsa ialah Mazlan Molot, 48, beralamat di Taman Putra Damai, Petaling Jaya, Selangor dan Fauziah Uyop, 40-an.

"Identiti mangsa telah pun dikenal pasti iaitu Mazlan merupakan pemandu treler manakala Fauziah ialah penumpang duduk di bahagian hadapan yang mana kedua-duanya ditemui dalam keadaan rentung keseluruhan.

"Mereka dipercayai pasangan suami isteri namun polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai status hubungan kedua-duanya," katanya dalam kenyataan kepada media pada Jumaat.

Selain itu Nanda berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler berkenaan yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor menuju ke arah Senawang hilang kawalan dan terbabas ke lorong paling kanan lalu merempuh tembok tengah penghadang lebuh raya.

"Akibat pelanggaran itu lori terbabit telah terbakar menyeluruh di bahagian badan dan kepala kenderaan.

"Kejadian itu mengakibatkan mangsa tersepit dan rentung keseluruhan serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum itu Sinar Harian melaporkan kejadian berlaku telah mengakibatkan kesesakan lebih 10 kilometer berikutan semua empat lorong terpaksa ditutup.