Perak bakal lancar buku panduan lindungi mangsa penderaan

Wong May Ing (dua, kiri) pada sidang media, hari ini.
Wong May Ing (dua, kiri) pada sidang media, hari ini.
A
A
A

IPOH - Perak mengambil inisiatif menerbitkan buku panduan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak berikutan berlakunya peningkatan kes penganiayaan dan penderaan di negeri ini, setiap tahun.

Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Wong May Ing berkata, berdasarkan kes dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), peningkatan ketara berlaku dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini iaitu 183 kes pada 2015, 2016 (299), 2017 (318) dan tahun lalu 341 kes.

"Kes-kes ini termasuklah penderaan fizikal, mental dan seksual.

"Melihat kepada trend peningkatan itu, kerajaan negeri Perak merancang menerbitkan buku panduan yang merangkumi cara penjagaan keselamatan diri, contohnya peraturan larangan sentuhan bahagian sulit di mana ia dipercayai dapat memberi peringatan kepada kanak-kanak bahawa penjagaan keselamatan diri mereka sendiri," katanya pada sidang media selepas sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Sidang Dewan Negeri, hari ini.

Menurutnya, buku panduan berkenaan kini dalam peringkat semakan akhir dan bakal dilancarkan awal bulan depan sebelum diagihkan kepada semua sekolah termasuk sekolah agama dan sekolah jenis kebangsaan seluruh negeri secara percuma.

"Sebanyak 1,102 sekolah iaitu anggaran seramai 373,000 pelajar akan menerima buku panduan ini.

"Untuk peringkat awal, kerajaan Perak akan mencetak 540,000 buku panduan, bakinya akan diagihkah kepada pusat khidmat DUN, jabatan-jabatan, pusat jagaan, NGO dan mana-mana agensi jika didapati perlu," katanya. Beliau berkata, buku panduan itu akan diterjemahkan kepada tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Mandarin dan Tamil sementara bahasa Inggeris dalam versi digital.

Katanya, buku itu direka berunsur 'kids-friendly', contohnya secara cerita, komik, mengguna pakai tulisan inovatif dan warna yang cerah bagi tujuan memudahkan pemahaman.

Artikel Berkaitan:

"Semua kandungan buku ini telah disemak oleh kementerian menerusi JKM, ia bukanlah satu silibus pelajaran, hanya tambahan maklumat agar kanak-kanak dapat memahami hal-hal sebegini," katanya.