Ini bukan kerja UMNO: Saarani

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - UMNO Perak menafikan penyebaran video rakaman audio yang dikaitkan dengan seorang Exco Kerajaan Perak dilakukan mereka.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, UMNO bersama-sama Pas tidak terlibat dalam sebarang bentuk penularan video kerana fokus mereka adalah menjadi pembangkang yang berwibawa. Beliau berkata, UMNO dan Pas tidak akan menggoncang dan mengambil alih kerajaan dalam keadaan tidak bermoral.

"Kita berikrar untuk jadi pembangkang yang berwibawa, pada waktu sama kita nak menjadi pembangkang yang semak dan imbang, jadi kerajaan kena buktikan... yang berantakan ini bukan UMNO dengan MB, tapi ini semua sesama dia," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Exco Kerajaan Perak, Dr Abdul Aziz Bari yang meminta UMNO dan Saarani menghentikan isu itu untuk mengalih isu lebih besar.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya tak tahu, saya tak dengar'

Dalam pada itu, Saarani meminta video yang tular itu disiasat pihak berkuasa bagi memastikan kesahihan kandungannya.

Menurutnya, orang ramai pasti ingin mengetahui individu sebenar yang ada dalam rakaman tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, penularan video rakaman audio itu membuktikan pendedahan yang dibuat sebelum ini adalah benar.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, rakaman audio itu sama dengan kandungan Akuan Bersumpah yang didedahkan sebelum ini.

"Apa yang saya sebut di Dewan sebelum ini saya tidaklah berbohong. Kandungan SD (Akuan Bersumpah) itu sama dengan rakaman itu tetapi siapa yang merakam saya tak tahu, bukan saya," katanya.