Itu cara saya bergurau dengan isteri: Hairul Azreen

Hairul Azreen & Hanis Zalikha
Hairul Azreen & Hanis Zalikha
A
A
A

BIARPUN menerima kecaman hebat netizen pada minggu lalu gara-gara memuat naik sebuah video gurauan yang ditujukan buat isterinya, pelakon Hairul Azreen tidak merasakan apa yang dilakukan itu sebagai satu kesalahan.

Menyifatkan ia hanyalah gurauan untuk isterinya Hanis Zalikha, hero filem Paskal ini memberitahu tidak mahu mengambil pusing dengan komen negatif netizen terhadapnya.

“Bagi saya video tersebut biasa sahaja dan ia hanyalah gurauan yang biasa lakukan dengan niat untuk menggembirakan isteri.

“Kebetulan ketika itu saya sibuk dengan penggambaran dan selama dua minggu tidak berada di rumah. Jadi saya bergurau begitu untuk luahkan rasa rindu pada dia dan anak.

“Bila dapat tahu ia tular dan mendapat kecaman, saya tak tahu nak respon macam mana. Saya hanya gelak sahaja kerana bagi saya ia memang tak ada apa-apa,” ujarnya.

Hairul yang ditemui di majlis pelantikan Hanis sebagai duta Happikiddo, di Grand Hyatt Kuala Lumpur, pada Rabu, bagaimanapun mengakui tidak menyangka tindakan tersebut menjadi isu besar malah dianggap sensitif untuk sesetengah pihak.

“Apa yang boleh saya katakan, kita tak boleh gembirakan hati semua orang. Itu cara saya bergurau dengan isteri dan dia OK sahaja kerana dia tahu saya macam mana orangnya.

“Kami berdua memang tiada masalah pun tentang perkara itu dan saya tak faham bila orang kaitkan dengan maruah isteri dan sebagainya. Terpulanglah apa orang nak cakap, itu hak mereka.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

“Apa yang saya tahu, saya jaga dan cuba bahagiakan anak isteri saya dengan sebaiknya. Saya yang cari duit untuk keluarga saya. Kalau netizen yang bagi saya duit belanja, bolehlah saya ikut cakap mereka,” tegas Hairul.

Malah Hairul dalam masa yang sama juga menafikan dirinya bersikap tidak matang hanya kerana video itu.

“Saya rasa orang-orang yang kenal saya secara personal, tahu saya ni macam mana orangnya. Saya memang suka bergurau dan memang itu sikap saya dari dulu.

“Kalau nak tengok saya serius, boleh tengok ketika saya berlakon dan buat kerja. Dalam situasi biasa, saya memang suka bergurau dengan semua orang yang dekat dengan saya.

Terdahulu sebelum itu, Hairul atau nama lengkapnya Hairul Azreen Idris, 31, telah memuat naik sebuah video gurauan yang ditujukan kepada isterinya di laman Twitter.

Menerusi video tersebut, Hairul mengatakan mahu buat anak ketiga selepas dia selesai menjalani penggambaran filem terbaharu lakonannya, Wira.

“Ayang I shooting dulu, Ayang jaga anak kita ehh. I habis shooting, kita buat anak ketiga,” kata Hairul.

Rata-rata yang menonton video tersebut meluahkan rasa kurang senang dengan gurauan itu yang dianggap sebagai sebagai tidak menghormati maruah isterinya, Hanis Zalikha, sebagai seorang wanita.