PKS perlu peka terhadap perubahan, kemunculan arah aliran mega IR 4.0

274479
274479
A
A
A

KULIM - Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) sedang merangka lawatan ke semua negeri bagi melihat kesediaan perusahaan kecil sederhana (PKS) menghadapi IR 4.0.

Timbalan Menterinya, Dr Ong Kian Ming berkata, pada ketika ini tahap penerimaan IR 4.0 pada sektor PKS masih berada di tahap rendah.

Menurutnya, MITI telah memperuntukkan dana sebanyak RM15 juta untuk mengadakan penilaian kesediaan 'readiness assessment' kepada 500 syarikat terpilih secara percuma.

"Daripada jumlah tersebut, MITI hanya menerima 300 permohonan daripada 50,000 syarikat PKS.

"Pihak MITI akan menghantar wakil terlatih untuk mengkaji beberapa komponen IR 4.0 yang dapat disesuaikan oleh syarikat dan memberi cadangan mengenai rangka kerja terbaik yang harus diguna pakai oleh sesuatu syarikat dalam melaksanakan revolusi ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan upacara penutup Seminar SMEs: Expend your knowledge and enrich your skills di Kulim Golf & Country Club, Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi Kulim (KTHP) hari ini.

Beliau dalam masa sama menekankan bahawa PKS perlu peka terhadap perubahan semasa terutamanya kemunculan arah aliran mega seperti IR 4.0 dan digitalisasi serta kemunculan pendanaan berasaskan pasaran baharu dan teknologi kewangan.

"Elemen ini akan menjadikan PKS lebih cekap, produktif dan mampu mengurangkan kos menjalankan perniagaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seminar dianjurkan Invest Kedah, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Kulim Technology Park Corporation (KTPC) dan MITI disertai 150 usahawan sekitar utara.

Terdahulu, beliau meluangkan masa mengadakan lawatan kerja sekitar KHTP bagi mendengar taklimat mengenai operasi KTPC iaitu pemaju bagi KHTP, lawatan ke Kilang First Solar iaitu pembuatan panel solar terkemuka daripada Amerika Syarikat dan lawatan ke agensi bawah naungan MITI iaitu SIRIM dan MIMOS.