LCS Maharaja Lela dijangka ditauliah 2021: Panglima TLDM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), LCS Maharaja Lela dijangka ditauliahkan pada 2021, kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany.

“Lagi dua tahun...yang lain akan diterima dan ditauliahkan secara berperingkat selepas itu,“ katanya ketika ditanya mengenai perkembangan LCS selepas beliau menghadiri Program Derma Darah sempena sambutan Hari TLDM Ke-85 di Kem Kementah di sini, hari ini.

Pada 31 Oktober lepas, media melaporkan penyerahan LCS pertama milik TLDM yang dijadualkan tahun ini ditangguhkan susulan pembinanya, Boustead Naval Shipyard (BNS) masih menunggu komponen penting daripada sebuah syarikat di Amerika Syarikat dan ia dijangka tiba pada penghujung tahun ini.

Ini sekali gus mengakibatkan kapal berkenaan tidak dapat terlibat dalam Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 baru-baru ini.

TLDM sebelum ini dilaporkan akan menerima enam LCS secara berperingkat mulai pertengahan tahun ini.

LCS dibina dengan keupayaan peperangan empat dimensi bagi mengatasi ancaman elektronik, udara, darat dan air serta dilengkapi sistem pengurusan peperangan terkini dan mampu menampung sehingga 118 anak kapal selain sebuah helikopter dan pasukan khas.

Mengulas mengenai program derma darah yang dilakukan setiap tahun itu, beliau berkata ia merupakan tanggungjawab sosial TLDM kepada masyarakat.

“Pada tahun lepas, di sini sahaja (Kuala Lumpur) 350 orang penderma dan tahun ini kita jangka cuba mengatasi bilangan tersebut, harap melebihi daripada 400 penderma,” kata Mohd Reza.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata program berkenaan turut berlangsung di pangkalan TLDM yang lain antaranya di Lumut, Kuantan dan Kota Kinabalu. - Bernama