Pertingkat ilmu berkaitan e-dagang, penipuan dalam talian: Saifuddin

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) memeriksa kawalan kehormatan pada program Sambutan Hari Penguatkuasa KPDNHEP ke-47 di Kem PLKN Seri Perkasa, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) memeriksa kawalan kehormatan pada program Sambutan Hari Penguatkuasa KPDNHEP ke-47 di Kem PLKN Seri Perkasa, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

NILAI - Anggota bahagian penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) disaran agar mempertingkatkan ilmu berkaitan e-dagang dan bentuk-bentuk penipuan dalam talian.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jika 47 tahun dahulu fenomena penipuan dalam talian ini tidak wujud, namun pada hari ini ia semakin berkembang.

Beliau berkata, anggota penguatkuasa kini bukan sahaja berdepan dengan aduan masyarakat mengenai harga barang, tetapi juga penipuan dalam talian.

Sehubungan itu, bagi menjaga kepentingan rakyat dan pengguna, beliau menggariskan tiga perkara untuk menjadikan bahagian penguatkuasa relevan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran mendatang.

Tiga perkara itu ialah anggota perlu meningkatkan ilmu pengetahuan demi mendepani masyarakat yang kian rencam; meningkatkan kemahiran penguatkuasaan dan mempunyai sikap yang baik serta berintegriti.

"Kalau ketiga-tiga ramuan ini diamalkan, bahagian penguatkuasaan akan dapat dipertingkatkan lagi peranan dan keberkesanan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Penguatkuasaan KPDNHEP ke-47 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri KPDNHEP Chong Chieng Jen dan Ketua Setiausaha Datuk Muez Abd Aziz.

Saifuddin berkata, setakat ini KPDNHEP mempunyai seramai 2,294 anggota penguatkuasa di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Dengan jumlah rakyat Malaysia seramai 32 juta, kalau ditanya kepada saya memang tak cukup (anggota jika dinisbahkan dengan seorang anggota dengan jumlah rakyat).

"Itu perlunya kita tambah kemahiran anggota," katanya.

Beliau berkata, usaha berterusan menambah anggota terus dilaksanakan dan pada tahun ini bahagian itu menerima 100 anggota tambahan. - Bernama