Bapa teruskan pencarian Zahiruddin

Polis sedang giat mengesan Zahidruddin yang dipercayai hilang sejak Isnin lalu.
Polis sedang giat mengesan Zahidruddin yang dipercayai hilang sejak Isnin lalu.
A
A
A

KAJANG - Bapa kepada seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang dipercayai hilang selepas keluar dari rumahnya pada Isnin lalu menggiatkan usaha untuk mencari anaknya itu di sekitar kawasan kediaman mereka.

Menurut Mohd Fauzi Abdul Ghaffar, 51, buat masa ini, dia masih meneruskan pencarian anaknya, Muhammad Zahiruddin Putra di kawasan laluan berhampiran sungai dan longkang yang terletak di sekitar kawasan berkenaan.

Mohd Fauzi berkata, sehingga kini, tiada sebarang perkembangan positif diterima hasil daripada pencarian itu.

"Saya juga ada bertanyakan kepada rakan-rakan sekelas Zahiruddin namun mereka semua tidak tahu mengenai anak saya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata, mereka sekeluarga positif dengan usaha yang dilakukan oleh pihak polis yang dilihat bertindak pantas untuk melakukan pencarian anaknya itu.

Ujar Mohd Fauzi, buat masa ini, pihaknya juga sedang menunggu sebarang perkembangan lanjut daripada polis berhubung usaha pencarian tersebut.

"Harapan saya, Insya-ALLAH dia akan ditemui sebab usaha yang dilakukan oleh pihak polis nampaknya agak pantas bagi membantu mengesan lokasi Zahiruddin," katanya.

Isnin lalu, Zahiruddin dikatakan hilang selepas dia keluar dari rumahnya untuk bermain di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra di sini.

Artikel Berkaitan:

Ibu mangsa, Sainih Sunding, 46, memaklumkan anak bongsu daripada lima beradik itu tidak ke sekolah pada hari kejadian dan keluar untuk bermain dengan rakan-rakannya.

Susulan itu, polis memaklumkan bahawa pihaknya sedang giat mengesan kanak-kanak terbabit selepas bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Bangi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Yusoff memaklumkan lokasi pencarian mangsa turut diluaskan sehingga kawasan Kajang bagi mengesan mangsa terlibat.