Kelindan lori maut kemalangan tiga kenderaan

A
A
A

ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Seorang kelindan lori maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Taman Cahaya Tebong di sini pada malam Selasa.

Dalam kejadian jam 11.01 pagi, mangsa A Suresh, 37, yang beralamat di Kampung Tebong meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan melibatkan kereta Proton Saga Iswara dipandu mangsa yang maut, Perodua Myvi dan Toyota Camry.

"Ketika kejadian kereta Perodua Myvi yang dipandu G Sathiabama, 34, hendak membelok ke kanan untuk masuk ke simpang rumahnya.

"Mangsa yang memandu Proton Saga Iswara dari arah yang sama cuba memotong, namun terlanggar hadapan kereta Sathiabama.

"Pelanggaran itu menyebabkan kereta mangsa terbabas dan melanggar sebuah lagi kereta Toyota Camry yang diparkir di bahu jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

"Kenderaan yang terlibat ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom)," katanya.

Artikel Berkaitan: