Detik akhir sebelum pesawat Yeti Airlines 691 terhempas

Jaiswal ketika membuat siaran langsung menerusi akaun Facebook miliknya. - Foto: Agensi
Jaiswal ketika membuat siaran langsung menerusi akaun Facebook miliknya. - Foto: Agensi
A
A
A

NEW DELHI - Sebuah rakaman video memaparkan detik akhir sebelum kejadian nahas pesawat di Nepal pada akhir minggu lalu menjadi tular yang disifatkan sebagai tragedi terburuk dalam tempoh 30 tahun.

Klip secara langsung tersebut sempat dikongsi penumpang warga India, Sonu Jaiswal yang menaiki penerbangan Yeti Airlines 691 dari Kathmandu ke Pokhara itu beberapa saat sebelum ia terhempas.

Rakaman berkenaan jelas memaparkan keadaan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Pokhara yang diambil dari dalam pesawat yang membawa 68 penumpang bersama empat kru tersebut ketika ia bersiap sedia untuk mendarat.

Jaiswal kemudiannya merakamkan situasi di dalam pesawat sebelum cahaya seperti kilat muncul pada skrin secara tiba-tiba disusuli jeritan penumpang dan bunyi kuat dipercayai berpunca daripada enjin pesawat.

Ahli keluarga dan rakan Jaiswal yang telah menyaksikan video itu menerusi akaun Facebook miliknya mengesahkan ketulenannya.

“Dia membuat siaran langsung ketika pesawat itu terhempas ke dalam gaung berhampiran Sungai Seti,” ujar temannya, Mukesh Kashyap.

Bagaimanapun, masih tidak jelas bagaimana dia memperoleh akses kepada internet ketika pesawat belum lagi mendarat.

Difahamkan, pasukan penyelamat sedang berhempas-pulas untuk mengeluarkan baki mayat mangsa penumpang dari bangkai pesawat berkenaan yang hancur berkecai.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap polis, AK Chhetri berkata, sebanyak 70 mayat mangsa penumpang telah ditemui sehingga awal pagi Selasa.

“Lapan mayat sudah diserahkan kepada waris keluarga masing-masing. Penyerahan 14 mayat akan dibuat selepas proses autopsi selesai, manakala 48 mayat bakal dihantar ke Kathmandu untuk ujian DNA,” jelasnya.

Pihak berkuasa turut menggunakan dron untuk mengesan dua lagi korban nahas tersebut setelah kawasan carian diperluaskan kepada tiga kilometer.

Pada Isnin, pasukan penyelamat menyerahkan kotak hitam pesawat buatan Perancis tersebut kepada pihak berkuasa berkaitan untuk siasatan selanjutnya bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tragis berkenaan. - Agensi