Rangkaian 5G di Perak tahun depan

Hasnul Zulkarnain ketika menjawab soalan tambahan pada Persidangan Dewan Negeri Perak, hari ini.
Hasnul Zulkarnain ketika menjawab soalan tambahan pada Persidangan Dewan Negeri Perak, hari ini.
A
A
A

IPOH - Rakyat Perak bakal menikmati kemudahan teknologi 5G selewatnya hujung tahun hadapan apabila lima syarikat dilantik bagi menyediakan infrastruktur itu.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, kerajaan negeri memang mempunyai perancangan untuk melakukan perubahan dalam perkhidmatan telekomunikasi selari dengan arus perubahan.

"Kita sudah bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan untuk sediakan ruang infrastruktur yang terbaik terutama di kawasan bandar.

"Sekiranya mendapat kata putus kerajaan Pusat, barangkali tahun hadapan atau berakhir tahun hadapan, rakyat di negeri ini akan menikmati rangkaian 5G," katanya menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Zambry Abd Kadir (BN-Pangkor) pada Persidangan Dewan Negeri Perak di sini, hari ini.

Zambry mengesyorkan kerajaan negeri menerusi Digital Perak Corporation Holdings atau sebelum ini dikenali KPerak untuk meneroka perluasan infrastruktur telekomunikasi yang kini mempengaruhi seluruh dunia.

Dalam pada itu, Hasnul Zulkarnain (Amanah-Titi Serong) berkata, bermula tahun ini, kursus ICT Rakyat (KIR) yang dilaksanakan sejak tahun lalu diperluas dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Pusat Internet Malaysia terpilih seluruh negeri.

"Kita juga dalam perancangan untuk memperluaskan kepada golongan anak-anak yatim, pelajar sekolah agama rendah dan menengah serta komuniti Orang Asli.

"Langkah ini antara inisiatif dilakukan kerajaan negeri untuk merapatkan ruang digital terutamanya masyarakat luar bandar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sasaran golongan peserta adalah terdiri daripada golongan remaja, suri rumah dan warga emas.