RCI Wang Kelian masuki hari kedua

Arifin. - Foto Bernama
Arifin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Hari kedua sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis hari ini akan menampilkan tiga lagi saksi untuk memberi keterangan.

Empat saksi memberi keterangan pada hari pertama prosiding RCI itu semalam.

Prosiding di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri itu berlangsung di hadapan Pengerusi RCI Tun Arifin Zakaria yang juga bekas Ketua Hakim Negara.

Arifin dibantu timbalannya bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai dan lima anggota panel iaitu bekas Ketua Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Noobahri Baharuddin; Tan Sri Razali Ismail yang baru meletak jawatan sebagai Pengerusi Suhakam; bekas Ketua Penyelidik Jabatan Peguam Negara Datuk Junaidah Abd Rahman; bekas Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Dr Tan Seng Giaw.

Arifin dalam ucapan pembukaannya semalam menggariskan tujuh terma rujukan RCI, antaranya meneliti semua dokumen dan bukti berkaitan dengan kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian serta mengesyorkan tindakan dan penambahbaikan yang diambil oleh kerajaan sebelum mengemukakan laporan siasatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand. - Bernama

Artikel Berkaitan: