[VIDEO] Sebutan kes cerai Puteri Sarah, Syamsul 7 Mac depan

Puteri Sarah ketika ditemui pihak media di lobi mahkamah pada Isnin.
Puteri Sarah ketika ditemui pihak media di lobi mahkamah pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Syariah di sini pada Isnin, menetapkan sebutan kes cerai selebriti, Puteri Sarah dengan suaminya, Syamsul Yusof pada 7 Mac depan iaitu sehari sebelum ulang tahun perkahwinan mereka.

Mahkamah menetapkan tarikh itu selepas pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie atau nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, hadir sendiri bagi memfailkan penceraian.

Ibu kepada dua anak itu berkata, ia merupakan suatu kebetulan kerana tarikh ulang tahun perkahwinan dengan pengarah filem Mat Kilau itu atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Md Yusof, 39, adalah pada 8 Mac 2014.

“Mahkamah tetapkan 7 Mac, secara kebetulannya sehari sebelum ulang tahun perkahwinan kami yang kesembilan.

“Alhamdulilah, cukup sembilan tahun Sarah jadi isteri pada Mohd Shamsul dan nampaknya hubungan kami, setakat ini sahaja,” katanya.

Ketika ditanya perasaannya menjelang 7 Mac ini, Puteri Sarah berkata, beliau sudah tidak berasa apa-apa kerana permulaan (perkahwinan mereka) ialah pada 8 Mac 2014 kemudian berakhir 8 Mac 2023.

Beliau memberitahu tidak akan menangis lagi tetapi akan terus kuat kerana sokongan keluarga di samping kekuatan daripada anak-anak.

Untuk rekod Puteri Sarah dan Shamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Artikel Berkaitan:

Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikah wanita itu di Thailand.