Jaguh tinju wanita Iran berdepan hukuman penjara

Sadaf Khadem mengharumkan nama Iran selepas menang perlawanan tinju amatur di Perancis, Sabtu lalu.
Sadaf Khadem mengharumkan nama Iran selepas menang perlawanan tinju amatur di Perancis, Sabtu lalu.
A
A
A

PARIS - PERANCIS. Seorang wanita yang mengharumkan nama Iran selepas memenangi perlawanan tinju pertamanya di luar negara, membatalkan kepulangan ke kampung halaman selepas pihak berkuasa Iran mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.

Difahamkan, Sadaf Khadem menjadi petinju wanita pertama Iran beraksi dalam pertandingan tinju yang diadili secara rasmi.

Dalam perlawanan amatur di Royan, Perancis pada Sabtu lalu, Sadaf menewaskan wakil tuan rumah, Anne Chauvin.

Dia merancang untuk terbang ke Teheran dengan jurulatihnya pada minggu ini.

Sadaf yang dipetik sebuah akhbar sukan berkata, dia percaya dirinya akan dituduh melanggar kod pakaian wajib Iran kerana memakai pakaian tinju.

Iran setakat ini tidak mengesahkan kewujudan waran tangkap itu.

Sadaf telah mengenakan jaket hijau dan seluar pendek merah dengan tali pinggang putih – warna bendera negara Iran – semasa pertandingan tinju itu.

Wanita itu menjangkakan dia akan diberi sambutan sebagai seorang wira sekiranya kembali ke Iran.

Artikel Berkaitan:

Tetapi semasa dia terbang ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris, Mahyar Monshipour – bekas juara tinju dunia kelahiran Iran yang menjadi penasihat Menteri Sukan Perancis berkata, waran tangkap telah dikeluarkan ke atas mereka.

“Saya bertarung dalam perlawanan yang diluluskan di Perancis, tetapi ketika saya memakai seluar pendek dan baju-T yang benar-benar normal di mata seluruh dunia, saya memalukan peraturan negara saya,” katanya kepada L'Equipe.

“Saya tidak memakai tudung, saya dilatih oleh seorang lelaki,” ujar beliau.

Di bawah undang-undang Iran, perempuan berumur berumur sembilan tahun yang dilihat tanpa tudung boleh dikenakan hukuman penjara antara 10 hari dan dua bulan, atau denda.

Manakala ahli sukan wanita Iran dikehendaki menutup rambut, leher, lengan dan kaki mereka. - Agensi