MPK serah tanah perkuburan kepada JAIS

Mohd Yasid bersama Ahmad Zawawi meninjau tanah perkuburan baharu, semalam.
Mohd Yasid bersama Ahmad Zawawi meninjau tanah perkuburan baharu, semalam.
A
A
A

KLANG - Jika sebelum ini, penduduk di sekitar Johan Setia perlu menggunakan tanah perkuburan di Pandamaran yang terletak hampir 12 kilometer dari kawasan ini.

Namun dengan adanya tanah perkuburan baharu di Johan Setia, ia secara langsung memudahkan ribuan penduduk di sini.

Yang di Pertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohd Yasid Bidin berkata, tanah perkuburan baharu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Tanah Perkuburan Johan Setia seluas 26 ekar (dikenali sebagai Plot A) ini telah diwartakan melalui WKNS No. 1807 bertarikh 23 September 2004 sebagai Tapak Perkuburan yang dikawal oleh pihak JAIS.

"Manakala baki 36 ekar (dikenali sebagai Plot B) masih dalam tindakan Pejabat Daerah/Tanah Klang untuk diwartakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penyerahan Tanah Perkuburan Islam Kampung Johan Setia, Klang daripada MPK kepada JAIS, semalam.

Katanya, bagaimanapun, pada 7 Februari 2017, Jawatankuasa Akaun Amanah Negeri (bagi Akaun Amanah Infrastruktur Sosial dan Akaun Amanah Perkuburan) telah meluluskan dan mengesahkan siling peruntukan berjumlah RM1,857,318.19 manakala baki kos projek perlu ditanggung oleh pihak MPK.

Artikel Berkaitan:

Sekitar kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Johan Setia.
Sekitar kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Johan Setia.

"Kos keseluruhan berjumlah RM 2.19 juta telah diperuntukkan untuk projek ini dan kerja pembinaan telah dimulakan pada 30 Ogos 2017.

"Akhirnya, setelah dua kali lanjutan masa yang diluluskan sehingga 14 Mei 2018, maka projek ini akhirnya telah disiapkan dan akan diserahkan sepenuhnya kepada JAIS untuk urusan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, pemilihan lokasi tapak ini adalah bersesuaian dengan keperluan komuniti Mukim Jalan Kebun.

"Tanah yang berkeluasan 10.4 hektar ini dianggarkan boleh memuatkan sebanyak 4,500 jenazah pada satu-satu masa mengikut kesesuaian.

"Kemudahan infrastruktur yang disediakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Johan Setia ini antaranya mengandungi pejabat, stor, surau, tandas, bilik fail, pondok pengawal.

"Selain itu terdapat gazebo, laluan pejalan kaki konkrit, dataran, tempat letak kenderaan (63 petak dan 1 petak OKU), lampu jalan, pokok-pokok, susunan plot ubur dan arah kiblat.

Dalam pada itu, ADUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, tanah perkuburan bakal dilengkapi dengan angka giliran bagi setiap liang, itu antara keistimewaan di Tanah Perkuburan Islam Johan Setia di sini.

"Kawasan perkuburan ini bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk memudahkan waris mengebumikan jenazah keluarga dan saudara mereka di sini kelak," katanya.