Kenaikan kos harga bahan makanan perlu diatasi segera

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Pemuda Pas setuju dengan saranan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya kerajaan mengambil langkah drastik dengan segera menangani kenaikan kritikal kos bahan makanan.

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kenaikan kos bahan makanan melampau menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang sudah tentunya akan membebankan rakyat.

"Rakyat akan menjadi lebih terbeban dalam keadaan ekonomi tidak menentu serta kenaikan kos sara hidup semakin tinggi ketika ini.

"Kenaikan import bahan makanan antara punca harga kos bahan makanan melambung. Import bahan makan semakin meningkat kerana negara tidak mampu menghasilkan cukup bahan makanan untuk kegunaan domestik, katanya di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan perlu memberikan semula penumpuan dan keutamaan kepada industri pertanian selepas sekian lama memberikan tumpuan kepada industri teknologi dan perusahaan berat.

"Kerajaan perlu galakkan semula sektor pertanian, mengenal pasti kawasan sesuai dibangunkan, jenis makanan atau tanaman yang sesuai serta menjadi keperluan utama,

"Kerajaan juga perlu menggalakkan anak tempatan terutamanya graduan yang menganggur untuk menceburi sektor pertanian," katanya.

Muhammad Khalil berkata, melalui pelbagai agensi di dalam sektor pertanian, kerajaan sebenarnya mampu untuk membangunkan sektor itu untuk menampung keperluan domestik.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum negara bergantung sepenuhnya kepada import makanan, keadaan pertanian tempatan menjadi kritikal serta tidak mampu menampung keperluan dan kos bahan makanan melambung tinggi hingga menyebabkan ia menjadi beban.

"Jika kita tanya rakyat sekarang, adakah kos tersebut sudah turun, sudah tentu sambil tertunduk mereka menidakkannya. Bermakna Kerajaan PH sekali lagi gagal menunaikan janji mereka dan gagal dalam menunaikan harapan rakyat Malaysia," katanya.

Menurutnya, sehubungan itu, kerajaan perlu mengubah dan menetapkan hala tuju pertanian negara dengan menyediakan pelan jangka pendek mahu pun panjang untuk mengatasi masalah tersebut.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar kerajaan segera merangka langkah strategik untuk menangani peningkatan kos bahan makanan.

Baginda bertitah langkah strategik tersebut wajib memberi keutamaan terhadap peranan penting serta keperluan kritikal sektor pertanian.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, semalam.