Empat jenayah jadi undang-undang Malaysia jika Statut Rom diratifikasi

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah ditemubual oleh hos Wan Syahrina Wan Ab Rahman pada program Ruang Bicara bertajuk ‘Statut Rom’ bersama Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Empat jenayah antarabangsa iaitu pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pencerobohan akan dijadikan sebagai undang-undang tempatan sekiranya Malaysia meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata selepas diratifikasi, ia harus dijadikan sebagai undang-undang negara sama ada menerusi pindaan akta sedia ada atau mewujudkan akta baharu, tanpa memerlukan sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

"Ia (Statut Rom) adalah di peringkat antarabangsa. Selepas ia diratifikasi (jika tidak tarik diri), keempat-empat jenayah antarabangsa itu harus dijadikan jenayah dalam mahkamah tempatan. Adakah ia perlukan pindaan Perlembagaan, jawapannya tidak.

"Selepas kita wujudkan undang-undang atau akta itu, andainya berlaku ada rakyat atau pemimpin tetapi bukan Agong, bukan raja terlibat dengan jenayah itu (antara empat jenayah), mahkamah Malaysia boleh mendakwa dia. Kalau mahkamah Malaysia telah mendakwa mereka, ICC tak akan masuk campur, " katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel, di sini malam ini.

Jelas Saifuddin lagi, prinsip ICC adalah sebagai mahkamah pilihan terakhir apabila negara yang terlibat secara jelas tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pesalah terbabit.

Katanya selagi negara itu berkehendak dan berkemampuan untuk mengadili dan seterusnya menghukum pesalah terbabit, kita boleh buat sendiri dan ICC tidak akan campur tangan.

Pada 5 April lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dalam kalangan masyarakat.

Sambil menegaskan bahawa keputusan itu bukan disebabkan Statut itu membahayakan, Perdana Menteri berkata Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC yang Malaysia tandatangani pada 4 Mac lepas, boleh ditarik semula sebelum Jun tahun ini.

ICC adalah mahkamah jenayah antarabangsa pertama berasaskan perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling serius yang membimbangkan masyarakat antarabangsa melibatkan jenayah pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.

Sebelum ini, sesetengah pihak mendakwa sekiranya Malaysia menerima Statut Rom, akan wujud kes bertentangan, misalnya berlaku kes hak asasi manusia di negara ini, dan ini akan mengakibatkan Malaysia hilang kebebasannya untuk menggubal dasar serta undang-undangnya sendiri.

Saifuddin menjelaskan Malaysia boleh kembali menandatangi ICC, sekiranya berhasrat untuk berbuat demikian pada masa akan datang kerana keputusan untuk menyertai ICC itu adalah bersifat sukarela. - Bernama