Murid tadika hilang tertidur dalam bas

Kehilangan seorang kanak-kanak di Putrajaya petang tadi akhirnya terjawab apabila ditemui dalam bas.
Kehilangan seorang kanak-kanak di Putrajaya petang tadi akhirnya terjawab apabila ditemui dalam bas.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berumur 4 tahun akhirnya terjawab apabila kanak-kanak berkenaan ditemui dalam bas yang membawanya ke latihan sukan di Padang Bangi di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, kanak-kanak berkenaan difahamkan dibawa oleh pihak tadika ke Padang Agrobank, Bangi kerana terlibat dengan raptai hari sukan.

"Siasatan dijalankan mendapati kanak- kanak tersebut terlibat dengan raptai hari sukan bersama 87 kanak-kanak yang lain di Pusat Latihan Agrobank Bangi.

"Pergerakan kesemua murid menggunakan tiga buah bas sekolah yang disewa yang mana kesemuanya diiringi oleh 11 orang guru," katanya.

Katanya, pihaknya mendapati guru pengiring ada membuat semakan murid sebelum balik serta pemeriksaan di kawasan raptai.

"Semakan juga turut dilakukan semasa perjalanan balik dan mendapati jumlah murid cukup.

"Namun, ketika tiba di tadika, guru tidak membuat semakan jumlah murid yang keluar dari bas dan kesemua murid diarahkan masuk ke dalam kelas masing masing," katanya.

Tambahnya, kehilangan kanak-kanak ini kemudiannya disedari oleh guru kelas tadika tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Sekitar jam 3.20, guru kelas kanak-kanak ini menyedari seorang muridnya tiada di dalam kelas namun beg sekolah dan tilam murid tersebut masih berada di dalam kelas.

"Guru kelas tersebut menyangkakan murid tersebut telah dijemput oleh ibu bapanya, namun kira-kira jam 4.50 petang, ibu kanak-kanak itu datang untuk menjemput anaknya namun mendapati anaknya tiada di tadika itu," katanya.

Jelasnya, pihak tadika kemudiannya mencari kanak-kanak tersebut di seluruh kawasan tadika namun tidak dijumpai.

"Kira-kira jam 7.05 petang, pemilik tadika tersebut telah menghubungi pemandu bas dan setelah pemandu bas buat pemeriksaan dalam bas, mendapati kanak-kanak tersebut sedang tidur di kerusi bas.

"Polis kemudiannya mengambil kanak-kanak tersebut di rumah pemandu bas berkenaan sebelum menyerahkannya kepada ibu kanak-kanak terbabit," katanya.