Lori gagal berhenti punca nahas enam kenderaan

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Vijaya Rao
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Vijaya Rao
A
A
A

KLANG - Sebuah lori yang gagal berhenti sehingga merempuh lima buah kereta dipercayai menjadi punca seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan di susur keluar Bukit Raja, Lebuhraya Persekutuan, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 7.30 pagi di susur kiri Kilometer (KM) 6 Lebuhraya Persekutuan dari arah Shah Alam menghala ke Klang.

"Kesemua kenderaan yang terlibat datang dari arah yang sama dan berada di lorong susur kiri menghala ke Lebuhraya Selat Klang Utara.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori melanggar lima buah kereta yang sedang berhenti di susur lampu isyarat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Vijaya Rao berkata, rempuhan berkenaan menyebabkan lima buah kereta yang sedang berhenti bergerak kehadapan dan berlanggar antara satu sama lain.

"Seorang penumpang kereta di kedudukan paling belakang telah tersepit dan disahkan maut di lokasi kemalangan manakala dua lagi penumpang dalam kenderaan sama mengalami kecederaan.

"Kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut akibat kecederaan di bahagian kepala manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pemandu dan penumpang lain yang terlibat dalam kemalangan terbabit tidak mengalami kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan," ujarnya.

Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan seorang lelaki maut manakala dua lagi mangsa cedera parah dalam kemalangan melibatkan enam buah kenderaan.

Mangsa maut dikenali sebagai A Rahman Md Amin, seorang lelaki warga Indonesia bertaraf penduduk tetap berusia 57 tahun telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.